Oleh Sim Y. H. & AK Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Kebajikan para pesakit yang kurang berkemampuan terus diberikan keutamaan dan perhatian oleh Kementerian Kesihatan yang mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, barang keperluan asasi dan peralatan perubatan, hari ini.
Para penerima adalah pesakit dan keluarga yang dikenal pasti serta berdaftar di Bahagian Kebajikan Perubatan di keempat-empat daerah.
Pada tahun ini, seramai 15 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Perkhidmatan Kebajikan Perubatan menerima lawatan tersebut.
Rombongan lawatan berkenaan telah dibahagikan kepada empat kumpulan, masing-masing bagi Daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong dan Temburong.
Lawatan kumpulan pertama di Daerah Brunei dan Muara yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah melawat empat orang pesakit.
Di Daerah Belait, rombongan diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap, Dr Ang Swee Hui melawat empat orang pesakit dan rombongan di Daerah Tutong yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman pula telah melawat lima orang pesakit.
Manakala itu, rombongan di Daerah Temburong diketuai oleh Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat telah melawat dua orang pesakit.
Isteri kepada salah seorang penerima sumbangan, Dayang Sari binti Jual melahirkan perasaan amat bersyukur dan menghargai sumbangan yang dihulurkan kepada mereka daripada Kementerian Kesihatan di mana sumbangan itu setentunya akan membantu mengurangkan bebanan mereka.
Projek MoH Prihatin merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Pentadbiran dan Kewangan dan Perkhidmatan Kebajikan Perubatan bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul dari Tabung Bantuan Amal Pesakit Perkhidmatan Kebajikan Perubatan yang diperoleh hasil sumbangan ikhlas daripada warga Kementerian Kesihatan, persatuan-persatuan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.
Ia turut disokong oleh warga di Kementerian Kesihatan, wakil-wakil dari Persatuan Pakar Kesihatan Bersekutu, Cardiac Society Brunei Darussalam, Brunei Medical Association, Brunei Darussalam Association of Medical Laboratory Scientists (BAMLS) dan RIPASH Doctor’s Mess.