SYDNEY, 3 JULAI – Sebuah lombong arang batu utama di Australia masih mengalami kebakaran gas bawah tanah yang telah berlarutan selama tiga hari selepas berlakunya ‘insiden kebakaran’, baru-baru ini.
Kebakaran tersebut tercetus pada Sabtu lalu apabila gas meletup di Lombong Grosvenor milik Anglo American di negeri Queensland, menyebabkan semua pekerja terpaksa dipindahkan dan pengeluaran dihentikan.
“Kebakaran masih berterusan dan kami masih berusaha untuk menutup sisa terowong pengudaraan dengan selamat menggunakan pelbagai kaedah,” kata jurucakap Anglo American kepada AFP.
“Tetapi kami masih berusaha memadamkannya,” ujarnya.
Anglo American berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan negeri mengenai langkah seterusnya untuk memastikan ‘permulaan semula yang selamat’ bagi lombong tersebut, yang mempunyai kira-kira 1,400 pekerja.
Pembukaan semula dijangka mengambil masa beberapa bulan akibat kerosakan bawah tanah yang mungkin berlaku, menurut kenyataan terdahulu.
Kumpulan tersebut berkata kualiti udara tidak terjejas.
“Pakar kesihatan luar telah meyakinkan kami bahawa, berdasarkan maklumat semasa yang mereka ada, tiada kesan terhadap kesihatan komuniti,” katanya. – AFP