Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebun durian tarikan baharu TPS

    TENOM, 2 SEPT – Taman Pertanian Sabah (TPS) bakal mempunyai tarikan terbaharu apabila kebun duriannya membuahkan hasil dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekali gus merancakkan aktiviti agrotourism di negeri itu.

    Pegawai Pertanian TPS Nur Edna Hasreena Ahlun berkata para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis buah durian premium apabila kebun itu dibuka kelak.

    “Durian yang ditanam jenis premium antaranya Musang King, Black Thorn, Musang Queen 168, Asfa50, Mdur88 dan Udang Merah,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata pada masa ini, pokok-pokok durian ditanam di kawasan seluas kira-kira 32 hektar itu berusia antara lima hingga enam tahun dan belum menghasilkan buah yang banyak.

    Nur Edna Hasreena berkata, TPS yang mempunyai keluasan 194 hektar itu merekodkan 10 peratus pengunjung dari luar negara setiap tahun kebanyakannya dari China dan Eropah. 

    “Ada pengunjung yang datang adalah peminat buah-buahan kerana di TPS ada buah-buahan yang mudah untuk dijumpai tanpa perlu masuk ke dalam hutan,” katanya menambah TPS mempunyai koleksi lebih daripada 1,500 buah-buahan dan tumbuhan.

    Beliau berkata selain buah-buahan, TPS juga mempunyai Taman Orkid Tempatan yang memiliki antara koleksi terbesar orkid low land di Malaysia iaitu sebanyak 350 jenis.

    Sementara itu, Nur Edna Hasreena berkata TPS mencatatkan 17,000 pengunjung tahun lepas, iaitu melepasi sasaran 15,000 yang ditetapkan. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda