Oleh Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN,18 Jun – Bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kemeriahan Hari Raya Aidilfitri ini, rombongan dari Syarikat Asia Enterprise (AE) tidak melepaskan peluang berkunjung ke kediaman pembesar-pembesar negara.
Rombongan yang diketuai oleh Pengarah AE, Chai Yum Fatt telah mengunjungi beberapa buah kediaman pembesar-pembesar negara dan juga mantan-mantan pembesar negara.
Ketika ditemui Media Permata hari ini, Chai Yum Fatt berkata, pada tahun ini, selain berkunjung untuk Majlis Junjung Ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri ke Istana Nurul Iman, mereka juga mengambil kesempatan berkunjung ke kediaman menteri-menteri dan mantan menteri di kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Antara yang sempat dikunju-ngi termasuklah Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Menteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; serta mantan-mantan menteri. Menurutnya kunjungan sempena hari raya memang lazim dilakukannya pada setiap tahun dengan tujuan untuk mengeratkan silaturahim dan juga bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Rombongan syarikatnya turut berkunjung ke rumah penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung serta rakan-rakan seperniagaan, kenalan dan sebagainya.