Wednesday, September 25, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan Wushu Remaja Dunia ke-9 buka tirai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Atlet-atlet wushu remaja dari 50 buah negara dan wilayah memulakan saingan dan beraksi dalam Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9, 2024 di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Persekutuan Wushu Brunei Darussalam mengadakan Majlis Pembukaan Rasmi Kejohanan Wushu Remaja Ke-9, 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian kejohanan berkenaan ialah Pemangku Menteri KKBS, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan dan Kesukanan), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Eksekutif Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin; Naib Presiden Persatuan Wushu Brunei Darussalam, Dr Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Eksekutif Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9; setiausaha-setiausaha tetap, wakil Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, atlet-atlet dan Jawatankuasa Kerja Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9.  

    Majlis berkenaan dimulakan dengan perbarisan lalu atlet dan pegawai teknikal daripada 50 buah negara dan wilayah yang mengambil bahagian dalam kejohanan dan diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan lagu rasmi Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF).

    Sebahagian dari perbarisan lalu atlet pada majlis berkenaan.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Muhammad Firdaus menyatakan bahawa kejohanan itu adalah lebih daripada hanya sebuah pertandingan, ia merupakan satu acara meraikan semangat Wushu yang menyatupadukan semua.

     Dr Muhammad Firdaus menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Beliau menambah bahawa Wushu bukan sahaja mengenai disiplin atau kemahiran, ia adalah mengenai menguji batasan dan memberikan inspirasi kepada satu sama yang lain untuk mencapai kejayaan.

    Oleh itu, beliau yakin bahawa setiap peserta bukan sahaja akan mempamerkan bakat luar biasa mereka tetapi juga keberanian, dedikasi dan hormat-menghormati yang menjadikan Wushu seni mempertahankan diri yang istimewa.

    Dr Muhammad Firdaus turut menyeru para peserta untuk sama-sama merenung nilai-nilai besar yang dipromosikan oleh Wushu iaitu integriti, solidariti, keamanan dan keharmonian yang merupakan kuasa yang kuat untuk mempromosikan kefahaman serta perpaduan. 

    Majlis turut menyaksikan ucapan daripada Naib Presiden Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF), Anthony Goh.

     Anthony Goh menyampaikan ucapan.

    Majlis seterusnya menyaksikan bacaan ikrar atlet oleh Awang Lim Wan Xin dan bacaan ikrar juri oleh Marcus Alves dari Brazil serta diikuti dengan perasmian kejohanan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda merasmikan kejohanan berkenaan.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan khas iaitu hadrah dari PGS RMF Music Academy, Tarian Tradisional Brunei dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Atlet Wushu Brunei Darussalam, Tarian Tradisional Cina dari Chung Hwa Middle School, BSB serta diakhiri dengan Lagu Tema Young Wushu Warriors dari PGS RMF Music Academy.

    Sebahagian daripada persembahan pada majlis pembukaan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-9, 2024 diadakan bermula hari ini, 25 hingga 29 September dengan mempertandingkan dua kategori iaitu acara Taolu yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah serta acara Sanda yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Kejohanan berkenaan juga adalah acara kejohanan dunia rasmi yang dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Antarabangsa (International Wushu Federation – IWUF) yang berlangsung setiap 2 tahun dan merupakan kejohanan remaja kemuncak rasmi IWUF.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda