Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejuruteraan Jerman bantu orang kudung berjalan semula

    BERLIN, 7 OGOS – Dengan kudung pada kedua-dua belah kakinya, Vitaliy Saiko, seorang veteran perang di Ukraine, membandingkan anggota tiruan yang dibuat untuknya oleh pakar prostetik dengan kereta sports.

    “Ini adalah suatu kerja yang khas. Seperti membuat Lamborghini, ia dipasang mengikut pesanan pelanggan,” kata Saiko kepada AFP.

    Lelaki berusia 42 tahun itu adalah antara pesakit pertama yang dipasang untuk prostesis baharu di Jerman dengan bantuan inisiatif untuk membawa penjagaan yang lebih baik kepada pesakit amputasi Ukraine.

    Peperangan telah membunuh beribu-ribu dan menyebabkan lebih ramai lagi mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata pada Mei bahawa lebih daripada 20,000 amputasi berlaku sejak Februari 2022. Tetapi rawatan yang berkesan untuk kecederaan teruk seperti itu amat kurang di Ukraine.

    “Terdapat pengetahuan yang lebih baik di sini (di Jerman) tentang cara membuat prostesis yang unik,” menurut Janine von Wolfersdorff, dari organisasi Life Bridge Ukraine.

    Setakat ini, organisasinya telah membawa kira-kira 40 orang kudung ke Jerman untuk dirawat, serta enam pelatih yang akan kembali ke Ukraine dengan kepakaran baharu.

    Berjalan di atas prostesis adalah suatu pengalaman “sensasi luar biasa”, kata Saiko, tetapi bekas tentera itu berpuas hati. Sebelum ini, “Saya tidak berjalan langsung, saya hanya berkerusi roda,” kata Saiko, yang telah menjalani lebih 15 operasi dan pemulihan selama berbulan-bulan sejak kehilangan kakinya dalam pertempuran tahun lalu.

    Tiga bulan selepas datang ke Berlin, Saiko berkata dia berasa “lengkap lagi”, katanya. Anggota badan baharu Saiko, sepasang batang logam licin berseluar dipadankan dengan kasut hitam itu dibuat khas untuknya di pusat kesihatan Seeger di Berlin.

    Amputasi yang dilakukan kadang kala tidak meninggalkan anggota kudung dalam ‘keadaan optimum’ untuk dipasang dengan prostesis, menurut Michael Koehler dari Seeger. Bagi Saiko, seperti yang lain, pembedahan masa lalu yang dihadapinya meninggalkan terlalu sedikit daging untuk menutup hujung tulang kakinya dengan baik menyebabkan punca ketidakselesaan tambahan bagi veteran itu.

    “Disebabkan oleh struktur tulangnya, kami perlu memastikan bahawa kami perlu menyediakan sokongan lembut” di dalam cawan prostesis itu, kata Koehler.

    Peralatan dan bahan pakar yang diperlukan untuk mula membuat prostesis berkualiti tinggi akan dibekalkan pada mulanya oleh Life Bridge Ukraine.

    “Kami sedang mencari untuk melihat apa yang masih perlu dipesan supaya pusat prostetik dilengkapi sepenuhnya,” kata von Wolfersdorff.

    Oleh kerana ibu negara Ukraine masih menghadapi peperangan, pusat baharu itu akan didirikan di ruang bawah tanah salah sebuah hospital di bandar itu.

    Lokasi bawah tanah bermaksud “ia akan dapat beroperasi walaupun terdapat amaran serangan udara”, kata von Wolfersdorff.

    Pada masa ini, bekalan prostetik di Ukraine adalah sangat terhad, kata Saiko, yang menghabiskan sembilan bulan pemulihannya di Ukraine.

    Dengan prostesis buatan Jermannya, Saiko berjaya memanjat tangga dengan mudah, mengimbangi papan atau menunggang basikal, walaupun usaha itu menyebabkan dia berpeluh. Apabila dia pulang ke rumah, bekas tentera itu mahu jadi ‘berguna di hadapan dengan cara yang berbeza’. – AFP

    Vitaliy Saiko berlatih dengan prostesis baharunya di pusat prostetik di Berlin, Jerman, pada 25 Julai. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda