Monday, February 10, 2025
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekal tradisi kepala singa buatan tangan

    MALAYSIA – “Saya menjalankan perniagaan ini sepanjang tahun dan menghasilkan lebih daripada 200 kepala singa setiap tahun.

    “Separuh daripada pesanan ini adalah untuk Tahun Baharu Cina manakala selebihnya adalah untuk kuil, persatuan Cina dan projek khas yang diamanahkan. Saya juga menerima pesanan dari Amerika Syarikat, Perancis, dan Australia. Jika awda memesan kepala singa hari ini, awda akan menerimanya pada bulan Ogos,” kata pakar pertukangan Lim Meng Kok.

    Bengkelnya yang terletak di tingkat pertama sebuah kedai di Kepong, Kuala Lumpur itu penuh sesak: selain daripada para petukang yang bekerja dengan gigih, terdapat tumpukan kotak dan tin cat poster di merata tempat.

    Jalur-jalur rotan dan dawai aluminium yang digunakan untuk bingkai kepala singa berselerak di lantai dan dalam almari.

    Turut membantu Lim adalah anak perempuannya Lim Seow Ling, 43, Lim Seow Meng, 39, dan menantunya, Kau Wei Chin, 40.

    Master Lim telah membuat kepala singa selama lebih 50 tahun. – Gambar ANN/The Star
    Lim mencipta kepala harimau ini untuk menandakan Tahun Harimau pada 2022. – Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Lim (tengah) berharap dapat melatih anak perempuannya Seow Ling (kanan) dan menantunya, Kau seni membuat kepala singa. – Gambar ANN/The Star
    Seorang petukang ketika sibuk bekerja untuk mencipta kepala singa fut san yang bertanduk tajam. – Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star

    Lim bersyukur bahawa anak-anaknya berminat dalam perdagangan yang semakin terancam ini dan mengambil inisiatif untuk mempelajari kemahiran kraf ini daripadanya.

    “Sesiapa sahaja boleh mempelajari kemahiran atau hobi baru jika mereka mempunyai minat dan komitmen. Saya bersyukur kerana memiliki pasukan pekerja yang berdedikasi, termasuk ahli keluarga saya, yang berminat untuk mempelajari seni yang semakin pupus ini,” katanya.

    Dengan hanya kira-kira 10 pembuat kepala singa di negara itu, Lim, 75, bertekad untuk mewariskan kepakaran beliau kepada generasi muda.

    “Ramai belia Cina tidak berminat untuk mempelajari seni ini kerana mereka berpendapat mereka tidak dapat mendapatkan pendapatan yang baik. Mereka menganggap kepala singa hanya dijual semasa musim Tahun Baharu Cina. Tetapi mereka salah,” katanya.

    Mengetahui potensi keuntungan dalam perniagaan itu, Lim berkongsi bahawa beliau meninggalkan pekerjaannya sebagai pengendali mesin di kilang pembuatan makanan pada akhir tahun 1970an untuk menceburi perniagaannya sendiri.

    Kini, kepala singa buatannya dijual dengan harga antara RM3,300 dan RM8,888.

    “Saya pernah bekerja di sebuah syarikat aiskrim di Bangsar. Selepas bekerja, saya akan membaiki dan membuat kepala singa di rumah. Perniagaan berjalan lancar, dan saya dapati sukar untuk mengurus pesanan yang saya terima. Pendapatan juga baik, dan itu mendorong saya untuk berhenti kerja dan menjalankan perniagaan ini (sepenuh masa),” kongsi warga emas yang mesra itu, yang juga merupakan datuk kepada tujuh cucu.

    Beliau juga pengasas dan pengajar utama Pasukan Tarian Naga dan Singa Meng Kok, sebuah syarikat tarian singa yang berusia 40 tahun yang berpusat di Kepong.

    Pelapis terhebat

    Dengan pengalaman selama 45 tahun (dalam membuat kepala singa), Lim dianggap dalam industri itu sebagai pakar pertukangan.

    Dalam lima dekad terakhir, beliau telah mengembara ke seluruh negara, dan juga ke peringkat antarabangsa, untuk memberikan bengkel pembuatan kepala singa. Beliau juga menjadi juri dalam kejohanan tarian singa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Hingga kini, lelaki 70an itu masih terus melatih para pelajar dalam pasukannya.

    Pada bulan Oktober yang lalu, Lim telah dianugerahkan gelaran Tukang Buat Tarian Singa Malaysia 2022 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan dan Persatuan Tarian Singa Malaysia.

    “Tidak ada yang lebih memuaskan daripada dikenali sebagai seorang pakar pertukangan,” katanya.

    “Saya telah membuat kepala singa hampir setengah abad dan saya amat menikmatinya.

    Saya tertarik dengan idea untuk mencipta kepala singa dari awal dan melukis motif yang rumit pada kepala singa,” terang Lim, yang dikenali sebagai ‘Loh Fo Chi’ (Old Master Q), seorang watak dalam komik popular Hong Kong.

    Secara kebetulan, syarikatnya juga dipanggil Lo Fo Chi Enterprise.

    Setiausaha Agung Persatuan Tarian Singa Malaysia dan Ketua Pengajar Utama Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke, Albert Fong Kong Yip, 47, menggambarkan Lim sebagai ‘seorang pertukangan mahir yang terkenal dengan kemahiran, pengetahuan dan kesempurnaan dalam seni itu.’

    “Dalam komuniti tarian singa, Master Lim dianggap sebagai salah seorang guru. Beliau telah menjadi penari singa hampir tujuh dekad dan seorang pe-ngukir kepala singa yang berbakat sejak tahun 1970an. Beliau berusia lebih 70 tahun dan masih mempunyai semangat yang sangat besar dalam pertukangan,” kata Fong.

    Persembahan singa

    Kepala singa merupakan komponen utama dalam tarian tradisional tarian singa.

    Persembahan-persembahan sedemikian diadakan semasa Tahun Baru Cina dan acara budaya serta agama lain. Dalam budaya Cina, singa melambangkan kuasa, kebijaksanaan, dan keunggulan.

    Tarian singa dilakukan semasa perayaan Cina untuk menyambut nasib baik dan mengusir jin jahat. Ia merupakan salah satu tradisi yang paling penting semasa Tahun Baharu Cina.

    Kau telah bekerja bersama mertua beliau selama 23 tahun. Walaupun beliau tahu bahawa masih ada banyak perjalanan untuk ditempuh, beliau bertekad meningkatkan kemahiran di bawah bimbingan Lim.

    “Adik ipar saya sangat tegas tetapi baik. Apa yang saya hargai adalah dedikasinya dan semangatnya untuk membimbing kami sebagai generasi masa depan pembuat kepala singa,” kata Kau, yang mempromosikan barang buatan tangan tersebut di Facebook Lim, Lo Fo Chi Enterprise.

    Warna-warna yang popular untuk kepala singa adalah kuning (melambangkan kemakmuran), merah (nasib baik), hijau (kesihatan), dan emas (kekayaan).

    Lim membuat dua gaya kepala singa Selatan – ‘hok san’ (kepala singa dengan mulut lurus dan tanduk melengkung di kepa-lanya) dan ‘fut san’ (mulut melengkung dan tanduk tajam), kedua-duanya berasal dari Guangzhou di China.

    Semangat tradisi

    Lim mula terlibat sebagai penari singa ketika beliau berusia tujuh tahun. Beliau membesar di tengah-tengah bandar, di Jalan Petaling, dan adalah biasa bagi ramai belia Cina di kawasan tersebut untuk menyertai pasukan tarian singa, katanya.

    “Saya merupakan salah seorang daripada budak-budak yang paling nakal yang sentiasa membuat kacau,” kenangnya, dan ketawa.

    “Dan saya amat suka tarian singa. Saya membesar dalam sebuah rumah di mana pakcik saya selalu berkongsi cerita tentang sejarah tarian singa. Dalam masa yang sama, saya berminat untuk belajar seni membuat kepala singa,” kata Lim.

    Beliau mempelajari seni tersebut daripada tukang membuat kepala singa mahir di Chinatown pada tahun 1960an.

    Selama bertahun-tahun, Lim telah menguasai kemahiran dan teknik yang diperlukan untuk membuat singa-singa ikonik ini. Beliau memberi perhatian khusus kepada lukisan setiap kepala singa untuk memastikan kemampuan mereka untuk menyatakan emosi yang berbeza seperti kejutan, kemarahan, dan kebahagiaan.

    “Kepala singa beratnya kira-kira 7 kilogram. Rotan adalah bahan yang sesuai kerana ia lebih ringan dan mudah lentur. Bahan lain seperti aluminium lebih berat, menjadikannya sukar bagi penari singa untuk menggunakannya untuk melompat dan menari,” katanya.

    Beliau juga menerima pesanan khas untuk kepala singa. Beliau melekatkan patung-patung kecil seperti ikan mas, naga dan monyet, masing-masing berukuran antara empat hingga lapan inci, pada kepala singa.

    “Ini dicipta untuk kuil-kuil tertentu dan pasukan tarian. Ia merupakan cabaran untuk menambah kelengkapan tetapi kami mendorong kreativiti kami untuk menyiapkan tempahan-tempahan ini.

    “Terdapat banyak kilang di China yang menghasilkan kepala singa tetapi kepala singa buatan tangan kami masih popular. Saya fikir ini adalah apa yang membezakan kami daripada kepala singa yang dihasilkan kilang,” ujarnya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda