SEOUL, 22 JAN – Bilangan anak damit yang dilahirkan di Korea Selatan melonjak pada kadar terpantas dalam tempoh 14 tahun pada November 2024, didorong oleh peningkatan perkahwinan selepas pandemik dan perubahan sikap terhadap perkahwinan serta keibubapaan.
Menurut Statistik Korea, seramai 20,095 anak damit dilahirkan pada November 2024, menandakan peningkatan 14.6 peratus berbanding 17,530 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, lapor agensi berita Yonhap hari ini.
Ia merupakan kenaikan tahun ke tahun terbesar sejak November 2010, apabila kelahiran meningkat sebanyak 17.5 peratus.
Bilangan perkahwinan turut meningkat dengan 18,581 pasangan melangsungkan perkahwinan pada November, iaitu peningkatan 11.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga November, seramai 199,903 pasangan berkahwin, mencerminkan peningkatan tahunan sebanyak 13.5 peratus.
Korea Selatan telah lama berdepan masalah kadar kelahiran yang menurun kerana ramai golongan muda menangguhkan atau tidak melangsungkan perkahwinan dan keibubapaan.
Sebagai tindak balas, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar untuk menggalakkan perkahwinan dan menyokong pemeliharaan kanak-kanak, termasuk faedah untuk pasangan baru berkahwin dan bantuan penjagaan anak yang diperluaskan. – Bernama