KAHERAH, 20 DIS – Ribut yang melanda telah memaksa pihak berkuasa Mesir menangguhkan kelas-kelas hari ini di bandar Kaherah dan beberapa buah wilayah lain sebagai langkah berjaga-jaga.
Pihak berkuasa juga menutup beberapa pelabuhan di Alexandria, bandar Mediterania itu dan bandar-bandar pelabuhan Terusan Suez iaitu Suez dan Port Said.
Agensi meteorologi negara itu berkata tahap sederhana hingga hujan lebat dijangka akan melanda pesisir utara dan rantau Delta Nil.
Agensi tersebut juga berkata ribut pasir dijangka akan melanda di bahagian utara dan selatan negara serta mengehadkan penglihatan.
Kementerian alam sekitar juga menggesa warga emas dan sesiapa yang menghidapi penyakit dada dan pernafasan untuk sentiasa berada di rumah hari ini bagi mengelakkan komplikasi berkaitan cuaca.
Kementerian Kesihatan berkata ia mengerahkan ramai kru ambulan di kawasan pendalaman dan di lebuh raya besar sebagai langkah berjaga-jaga jika terjadi kemalangan jalan raya.
Hujan sederhana melanda semalaman membanjiri jalan di beberapa buah kejiranan di Kaherah dan tempat lain di negara itu.
Media tempatan sebahagian besarnya melaporkan salji meliputi Alexandria, menutupi sebahagian jalan dan bumbung rumah dan bangunan di sepanjang pesisir bandar.
Hujan bermusim telah menimbulkan persoalan tentang keupayaan negara berkenaan membendung bencana banjir yang kebiasaannya mengakibatkan sebahagian Kaherah dan bandar-bandar utama tidak dapat dilalui. – AP