Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelly idam ungguli lompat kijang

    KUCHING, 20 OGOS – Atlet Johor, Nurkhaleesa Yasmin Awang bercadang untuk membawa keluarganya bercuti selepas menamatkan sai-ngan lompat jauh dengan kilauan emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

    Bagaimanapun atlet berusia 20 tahun dari Kulai itu mahu memberikan tumpuan untuk menambah koleksi pingat emasnya menerusi acara lompat kijang yang akan dipertandingkan pada Khamis ini.

    “Saya mahu gunakan insentif RM20,000 untuk membawa keluarga saya jalan-jalan. Saya nak mereka semua gembira dengan pencapaian ini.

    “Saya bukan datang dari keluarga senang. Saya sudah masuk asrama ketika tingkatan satu jadi saya nampak kesusahan mereka untuk membolehkan saya masuk asrama. Lepas ini, jika saya masuk universiti saya tidak mahu susahkan keluarga lagi,” katanya.

    Pada final acara lompat jauh wanita berlangsung di Stadium Sarawak, Nurkhaleesa atau lebih mesra dipanggil Kelly, melakukan catatan 5.76 meter (m) dalam lompatan terakhir untuk memenangi emas sekali gus memperbaharui catatan peribadi terbaiknya iaitu 5.63m.

    Pingat perak menjadi milik Alia Batrisya Nasaruddin dari Kelantan dengan 5.73m manakala wakil tuan rumah Maritza Ferrer Neil Armstrong membawa pulang pingat gangsa selepas melakukan lompatan sejauh 5.61m.

    Kontinjen Johor yang bertandang ke Bumi Kenyalang dengan misi mempertahankan gelaran juara menjanjikan insentif sebanyak RM10,000 bagi atlet acara perseorangan dan RM20,000 untuk acara berpasukan yang berjaya meraih pingat emas pada edisi ke-21 temasya tersebut. – Bernama

    Nurkhaleesa Yasmin sebak selepas memenangi pingat emas dalam acara akhir lompat jauh kategori wanita pada SUKMA 2024 di Stadium Sarawak Petra Jaya pada 20 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda