BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Februari 2012 – Ramai yang mengenali kelupis sebagai kuih tradisional masyarakat Kedayan dan masyarakat Melayu di Sarawak dan Brunei. Kuih yang diperbuat daripada beras pulut dan dibalut dengan daun ini menjadi kegemaran ramai, tanpa mengira usia kerana rasanya yang enak dan lemak-lemak manis.
Ayu Atiqah Event Management dengan kerjasama penduduk Kampung Limau Manis dan Kuala Lurah telah mencipta sejarah baru setelah menghasilkan kelupis gergasi.
Kelupis bersaiz besar ini mengambil masa lebih kurang 16 jam untuk dimasak dengan proses pembuatan dimulakan dengan mendadih dan dianggarkan menelan belanja sejumlah $3,000.
Pengerusia Ayu Atiqah Event Management, Haji Durani Haji Mohammad mengatakan kelupis sudah wujud dari zaman datuk nenek moyang kita lagi dan sering dihidangkan dalam apa jua majlis sama ada kecil ataupun besar.
Kalau orang-orang barat boleh menghasilkan makanan bersaiz besar dan ganjil, kenapa tidak orang Melayu kita tidak mencuba menjadikannya satu kenyataan, terutamanya bagi mempromosikan makanan tradisional kita.
“Dengan ini, terhasillah kelupis besar ini hasil sokongan, usaha dan kerjasama padu semua pihak yang terlibat,” katanya.
Anak Haji Durani, Dayang Nurafifah menerangkan: “Ini merupakan projek pertama pembuatan kelupis gergasi bersama penduduk kampung bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-28.”
Menurutnya, peralatan pengukus kelupis ditempah dari negara jiran yang mengambil masa 10 hari untuk disiapkan dan dihantar, manakala sebanyak lapan ikat daun nipah dan 120 kilogram santan digunakan dalam proses pembuatannya.
Kelupis ini akan dijual kepada orang ramai dengan harga $3 bagi 500 gram.
Sebanyak 30 oeratus daripada hasil jualan kelupis ini akan didermakan kepada anak-anak yatim Kampung Limau Manis dan Kuala Lurah.