Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kementerian Kesihatan turut tidak ketinggalan meraih ganjaran pahala dalam bulan Ramadan dengan mengadakan Sembahyang Fardu Zuhur dan Tazkirah Ramadan yang dikendalikan oleh beberapa jabatan di bawahnya di surau kementerian tersebut, baru-baru ini.
Tazkirah pertama telah diadakan pada 30 Mac lalu dengan tajuk ‘Peluang Meningkatkan Bekal’ yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Fuad bin Matahir. Tazkirah berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Pentadbiran Bahagian Kewangan dan Perolehan, Kementerian Kesihatan.
Tazkirah kedua telah dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan pada 6 April lalu dengan tajuk ‘Anugerah Ramadan’ yang disampaikan oleh Pembimbing Majlis Ta’lim Anwar Al-Hudaa, Pengiran Abdul Basit bin Pengiran Haji Zaini.
Manakala tazkirah ketiga yang diadakan pada hari ini anjuran Jabatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dengan tajuk ‘10 Malam Terakhir Bulan Ramadan’ telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Haji Mohd Nazir bin Haji Othman.
Ia merupakan salah satu aktiviti keagamaan dalam sama-sama menyemarakkan lagi bulan penuh rahmat ini di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga kementerian tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.