Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemarau ancam laluan Panama

    PANAMA CITY, 26 APRIL – Kemarau telah memaksa pihak berkuasa Panama mengurangkan lalu lintas penghantaran di terusan yang menghubungkan Atlantik dan Pasifik kerana krisis bekalan air mengancam masa depan laluan air penting tersebut.

    Dua buah tasik buatan yang memberi bekalan air kepada terusan di wilayah Colon telah kering akibat kekurangan hujan. “Tasik Alhajuela ini mempunyai air yang kurang setiap hari,” beritahu Leidin Guevara, 43, yang memancing di tasik itu, kepada AFP.

    Pihak Berkuasa Terusan Panama (ACP) telah mengehadkan kapal terbesar yang melalui terusan itu buat kali kelima sepanjang musim kemarau ini.

    Kira-kira enam peratus perkapalan maritim global melalui terusan itu, kebanyakannya dari Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

    Air hujan adalah sumber tenaga yang digunakan di Terusan Panama untuk menggerakkan kapal melalui anak terusan, sehingga setinggi 26 meter dari paras laut.

    Bot terkandas di dasar Tasik Alhajuela kering semasa musim kemarau musim panas, di wilayah Colon, utara Panama City pada 21 April. – AFP

    Laluan setiap kapal melibatkan 200 juta liter air tawar yang mengalir ke laut, yang menjadikan tasik Alhajuela dan Gatun amat penting.

    Menurut ACP, antara 21 Mac dan 21 April, paras Alhajuela turun sebanyak tujuh meter lebih daripada 10 peratus.

    “Kekurangan hujan memberi kesan dalam pelbagai cara, pertama sekali dalam pengurangan dalam simpanan air kami,” kata pengurus air ACP, Erick Cordoba kepada AFP.

    Ia menjejaskan perniagaan terusan dengan kapal terbesar, yang membayar yuran tertinggi, dihalang daripada melaluinya, tambah Cordoba.

    Pada tahun kawangan 2022, lebih daripada 14,000 kapal yang membawa 518 juta tan kargo melalui terusan itu, menyumbang AS$2.5 bilion kepada pendapatan Panama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda