Friday, July 5, 2024
27.2 C
Brunei

    -

    Kemboja catat peningkatan populasi ikan lumba-lumba Mekong

    PHNOM PENH, 2 JULAI – Jumlah ikan lumba-lumba Mekong di Kemboja telah meningkat kepada lebih 100, kata Menteri Pertanian, Dith Tina kelmarin, memberikan sedikit harapan bagi mamalia yang terancam itu.

    Ikan lumba-lumba Irrawaddy pernah hidup di sebahagian besar Sungai Mekong hingga ke delta di Vietnam. Namun, populasinya telah merosot daripada 200 ekor ketika banci pertama dijalankan pada 1997 kepada hanya 89 ekor pada 2020 disebabkan oleh penangkapan ikan haram, kehilangan habitat dan sisa plastik.

    “Pada masa ini, kita mempunyai kira-kira 105 ekor lumba-lumba,” kata Tina semasa Majlis Sambutan Hari Perikanan Kebangsaan.

    Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lapan ekor anak lumba-lumba baharu telah direkodkan, namun terdapat dua kematian, kata Kementerian Pertanian Kemboja.

    Peningkatan jumlah tersebut adalah disebabkan kelahiran lapan ekor lumba-lumba tahun lalu, menurut kenyataan kementerian, manakala pada 2023 juga menyaksikan lima kematian direkodkan.

    “Kementerian telah mengambil langkah tegas terhadap kesalahan penangkapan ikan dan pembuatan serta pengedaran alat tangkapan ikan yang merosakkan sumber marin secara serius,” jelas Tina.

    Tahun lalu, pemimpin Kemboja ketika itu, Hun Sen telah mengubah undang-undang untuk melindungi spesies tersebut, dengan menyatakan ‘populasi ikan lumba-lumba semakin berkurang’ sementara industri perikanan menderita akibat undang-undang pemuliharaan.

    Ikan Lumba-lumba Irrawaddy disenaraikan dalam ‘Senarai Merah’ hidupan liar yang terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN). – AFP

    Gambar ANN/The Star
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...