Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja terima 60 gerabak baharu dari China

    PHNOM PENH, 2 DIS – Sebanyak 60 gerabak baharu dari China telah tiba di Kemboja bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kargo kereta api di negara itu, menurut kenyataan pengendali kereta api Kemboja hari ini.

    Sebuah anak syarikat Royal Group, Royal Railway Plc, memaklumkan dalam satu kenyataan media bahawa gerabak tersebut tiba di Pelabuhan Autonomi Sihanoukville pada petang kelmarin dan berjaya dipunggah pada pagi tadi.

    “Pencapaian ini menandakan satu lagi langkah penting dalam komitmen Royal Railway untuk menyediakan perkhidmatan kargo kereta api yang efisien dan boleh dipercayai di seluruh Kemboja,” menurut kenyataan itu.

    Gerabak baharu yang dihasilkan oleh pengeluar terkemuka dari China itu direka untuk membawa pelbagai jenis kargo, termasuk kontena, jentera berat, bahan binaan dan lain-lain, tambah kenyataan tersebut.

    Sebelum mula digunakan, gerabak-gerabak itu akan menjalani pemeriksaan sistem brek secara menyeluruh untuk memastikan keselamatan operasi. Selepas prosedur keselamatan itu selesai, gerabak-gerabak itu akan bersedia untuk digunakan serta-merta dan akan disepadukan ke dalam operasi Royal Railway bagi menyokong pelbagai sektor industri di seluruh negara.

    “Ini adalah detik penting untuk Royal Railway kerana kami mengembangkan armada kami untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Royal Railway, John Guiry.

    “Penambahan 60 gerabak ini mencerminkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan kargo berkualiti tinggi serta mengukuhkan peranan kami dalam pembangunan ekonomi Kemboja. Gerabak ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti kami, tetapi juga memperbaiki kecekapan operasi logistik,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, 60 gerabak ini merupakan sebahagian daripada pesanan keseluruhan sebanyak 221 gerabak rata. – Xinhua

    Gambar ANN-The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda