PHNOM PENH, 10 MAC – Bank Negara Kemboja (NBC) dan UnionPay International (UPI) pada Isnin melancarkan fasa kedua pembayaran kod QR rentas sempadan, lapor Xinhua.
Melalui kerjasama fasa kedua ini, pengguna aplikasi Bakong di Kemboja kini boleh mengimbas kod QR di premis peniaga yang menerima UPI di China dan negara lain ketika melakukan perjalanan ke luar negara, kata Gabenor NBC, Chea Serey pada majlis pelancaran di Phnom Penh.
“Ini adalah berita yang sangat baik bagi rakyat Kemboja yang akan berkunjung ke China,” katanya.
“Pembangunan ini meningkatkan pengalaman pembayaran digital secara signifikan bagi rakyat Kemboja, menjadikan transaksi antarabangsa lebih lancar dan mudah.”
Serey berkata kerjasama itu akan memperkukuh sistem pembayaran rentas sempadan dengan memperluas akses pembayaran digital, bukan sahaja antara Kemboja dan China, tetapi juga secara global bagi mereka yang bekerjasama dengan UPI untuk melakukan pembayaran dengan mudah melalui imbasan kod QR.
Beliau berkata pelancaran fasa kedua itu susulan kejayaan fasa pertama pada Disember 2023, yang membolehkan pemegang kad UnionPay mengimbas kod QR Bakong untuk menyelesaikan transaksi pembayaran di jutaan premis perniagaan di Kemboja.
Dalam ucapannya, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UPI, Larry Wang berkata kerjasama ini akan membawa kemudahan sebenar kepada rakyat Kemboja ketika melancong atau berbelanja di luar negara. – Bernama
