Mengalami dua kali keguguran tahun ini membuatkan pelakon Elizabeth Tan, 31, berdepan episod sukar dalam hidup.
Justeru, kemenangannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33, semalam, sedikit sebanyak mengubati kedukaan hatinya.
Elizabeth berkata, banyak suka dan duka dilalui tahun ini termasuk menerima perkhabaran insan tersayang menghidap kanser.
“Ini merupakan tahun agak susah untuk saya. Melalui dua kali keguguran dan saya mendapat tahu seseorang yang sangat dekat dengan saya menghidap kanser.
“Jujurnya, walaupun keguguran pada peringkat awal pada usia kandungan tujuh minggu, tapi ia tetap menyedihkan sebab saya menyimpan harapan.
“Saya memikirkan hidup saya akan berubah apabila hamil, tiba-tiba tak jadi. Ini salah satu cabaran buat saya.
“Saya ada buat prosedur kesuburan iaitu proses Inseminasi Intrauterine (IUI) sebanyak dua kali, dua-dua pun tak jadi.
“Jadi, saya rasa seperti mempunyai masalah, apa kurangnya dengan saya, rakan saya senang sahaja dapat anak, jadi mengapa saya susah?,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, selepas kemenangannya, Elizabeth optimis rezekinya akan tiba, suatu masa nanti.
“Belum rezeki saya dapat anak, tapi adalah nanti. Tak dinafikan, saya rasa terima menerima banyak berita buruk, tahun ini.
“Namun, malam ini (semalam) saya terima berita baik menerusi kemenangan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
“Saya tak sangka ini adalah rezeki saya, tahun ini,” katanya.
Semalam, Elizabeth menerima kemenangan pertamanya itu menerusi lakonannya dalam filem Sheriff: Narko Integriti.
Hasil lakonannya sebagai watak antagonis dalam filem Sheriff yang berjaya menonjolkan sisi berbeza daripada perwatakan lembut dan sopan yang sinonim dengannya. – Agensi