Oleh Nurdiyanah R.
Ketika mengimbau zaman nenek moyang kita dahulu, kaedah pembungkusan sama ada untuk makanan atau apa-apa sahaja, daunlah menjadi wadahnya.
Namun melihat pada konteks sekarang, kebanyakan pembungkus ini diganti dengan bahan plastik. Hakikatnya pembungkusan menggunakan plastik sememangnya berbahaya kepada kesihatan terutamanya apabila makanan yang dibungkus berada dalam keadaan panas. Kini, sumber daun semula jadi ini dilihat semakin sukar diperoleh kemungkinan disebabkan keadaan persekitaran kita yang mengalami kepesatan arus pembangunan.
Apa yang paling mudah dijumpai kini ialah daun pisang yang kebiasaannya banyak digunakan dalam penyediaan makanan masyarakat kita sebagai pembungkus atau alas hidangan dan juga pewarna serta perasa. Oleh yang demikian, apa kata kita terokai beberapa jenis daun semula jadi yang memiliki nilai-nilai alami apabila digunakan.
Daun pisang serlah aroma
Penggunaan daun pisang merupakan salah satu daun yang masih dipraktikkan penggunaannya sehingga kini terutamanya dalam proses pembungkusan makanan dan kuih-muih seperti nasi lemak, tapai dan pais.
Sebelum membungkus, daun pisang akan dibersihkan terlebih dahulu dan dipanggang seketika di atas api yang sederhana agar tahan lebih lama. Selain memberikan bentuk bungkusan yang cantik, daun pisang juga memberikan aroma yang wangi kepada pelbagai kulinari yang disediakan tersebut.
Bungkusan wajid dari daun nyirik
Tak lapuk ditelan zaman, begitulah istimewanya wajid atau wajik Jawa yang merupakan salah satu produk makanan jenis kuih yang diwarisi turun-temurun dari zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari ini yang sekali gus memberi simbol kulinari khas istimewa terutamanya Daerah Temburong. Namun tahukah awda apakah jenis daun yang digunakan untuk membungkus kuih istimewa berkenaan?
Adapun kuih tradisi berkenaan dibungkus menggunakan daun nyirik dan disemat dengan potongan kecil batang lidi asli dari kelapa sawit sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis.
Pastikan adunan yang telah siap dimasak itu sudah sejuk apabila dibungkus. Namun apa yang mustahak juga ialah kebersihan bahan-bahan seperti daun nyirik dan batang kecil atau lidi yang digunakan itu perlu dititikberatkan agar dapat menghasilkan kualiti kuih wajid yang baik dan tahan lama.
Daun pandan sumber pewarna dan perasa
Penggunaan daun pandan sememangnya sangat meluas dalam kalangan masyarakat Melayu terutama dalam bidang masakan. Air perahan daunnya dijadikan sebagai pewangi dan pewarna semula jadi di dalam kuih-muih seperti kuih Seri Muka.
Helaian daunnya juga digunakan dalam masakan nasi lemak atau nasi putih bagi membangkitkan lagi aroma nasi. Daun pandan juga dapat dijadikan penambah aroma bagi memberi wangian pada pelbagai jenis bubur seperti bubur kacang dan bubur durian.
Namun sesetengah masyarakat juga menghasilkan anyaman dari daun pandan untuk dijadikan wadah pembungkus makanan seperti kuih Tako.
Daun bamban untuk anyaman
Selain itu, daun bamban juga merupakan salah satu daun semula jadi yang dapat digunakan untuk menghasilkan variasi produk barangan kraf tangan anyaman yang sememangnya memiliki kegunaan yang tersendiri.
Mengimbas kembali salah seorang pengusaha kraf tangan anyaman yang berasal sekitar kawasan pedalaman di Daerah Belait, yang pernah ditemui penulis beberapa tahun lalu, menjelaskan kebiasaannya daun berkenan diperoleh di kawasan hutan belukar di Kampung Melilas dan juga berdekatan dengan tebing-tebing sungai.
Setelah memperoleh bahan-bahan asas dan menjalankan proses-proses tertentu seperti sesi menghalusi dan pengeringan, kemudian baharulah boleh digunakan untuk mereka barangan anyaman yang menarik dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti nyiru, bakul, siraung, tikar, beg dan sebagainya. Inilah antara produk-produk kraf tangan bersumberkan bahan-bahan alam semula jadi yang perlu dimartabatkan oleh generasi-generasi muda kini agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Bersama melestarikan alam sekitar
Hakikatnya, penggunaan daun semula jadi dalam pembungkusan makanan secara tidak langsung menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Hal ini kerana bahan alami yang lebih mudah dilupuskan berbanding bungkusan yang diperbuat daripada plastik.
Oleh itu, bersama-samalah kita memanfaatkan sumber bahan semula jadi dalam kehidupan sehari-hari yang bukan hanya mempunyai kebaikan kepada kesegaran makanan yang dikonsumsi malah turut mendidik diri dan keluarga serta masyarakat amnya dengan memelihara bumi di mana kita berpijak daripada ancaman pencemaran penggunaan plastik yang berlebihan.