Oleh Samuel Yesuiah –
KLANG – Pulau Ketam ialah sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran Pelabuhan Klang di Selangor yang menawarkan pengunjung pemandangan indah kehidupan di perkampungan nelayan.
Rumah-rumah di pulau itu didirikan di atas tiang kayu, dan awda boleh melihat pukat ikan sedang diperbaiki di beberapa buah rumah. Terdapat juga banyak bot nelayan kecil di sekitar kawasan itu.
Baru-baru ini penulis dan kumpulannya yang terdiri daripada guru bersara dan pasangan mereka serta anak saudaranya mengadakan lawatan ke Pulau Ketam. Perjalanan ke Pulau Ketam menggunakan pengangkutan awam adalah mudah. Kami menaiki tren Komuter KTM ke Pelabuhan Klang dari stesen Kuala Lumpur Sentral.
Dari stesen Pelabuhan Klang, awda boleh sama ada berjalan kaki, menaiki bas atau teksi ke jeti Terminal Pelabuhan Selatan, yang terletak berhampiran. Jeti adalah tempat awda perlu pergi untuk menaiki feri, yang beroperasi setiap jam, ke Pulau Ketam.
Perjalanan menggunakan feri yang mengambil masa kira-kira 40 minit sangat selesa kerana ia dilengkapi dengan penyaman udara, di samping boleh pergi ke dek atas terbuka jika awda menggemari angin laut.
Tiada kereta disediakan di Pulau Ketam dan kaedah pengangkutan utama ialah basikal dan eskuter atau ebike, yang sentiasa melalui laluan konkrit sempit.
Di kedua-dua belah laluan pejalan kaki terdapat restoran, hotel kecil, pasar basah, kedai runcit, kedai cenderamata dan rumah, yang semuanya dibina di atas tiang kayu. Terdapat juga balai polis, klinik kerajaan, sekolah menengah dan tadika, serta rumah orang tua.
Laluan pejalan kaki utama mempunyai banyak persimpangan yang menuju ke kemudahan tersebut, serta ke rumah persendirian. Pulau Ketam kebanyakannya merupakan perkampungan nelayan Cina dan kebanyakan penduduknya menyara hidup hasil daripada sumber laut.
Jumlah pelancong semakin meningkat di pulau itu dan lebih ramai pengunjung bermalam di hotel dan rumah inap untuk merasai kehidupan di perkampungan nelayan. Terdapat juga yang tinggal lebih lama supaya dapat menikmati banyak makanan laut segar.
Penulis bersama dengan kumpulannya menghabiskan kira-kira satu atau dua jam berjalan di sekitar kampung itu. Terdapat banyak perkara untuk dilihat dan ditemui, dan mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar yang menarik.
Mereka melihat bagaimana kehidupan di perkampungan nelayan itu lebih santai, tenang dan damai. Masyarakat tersebut amat rapat dan semua orang mengenali antara satu sama lain. Para pekedai dan pemilik restoran juga bersifat peramah dan mesra.
Mereka juga berkesempatan menikmati hidangan tengah hari makanan laut yang hebat di salah sebuah restoran lebih besar di kampung. Untuk pencuci mulut, mereka memesan ais krim yang sejuk dalam keadaan cuaca yang panas.
Terdapat gerai lain di sekitar kawsasan itu yang menjual makanan laut seperti sotong, ketam dan udang.
Pulau Ketam menjadikan percutian hujung minggu atau lawatan sehari yang tenang dan indah, kerana ia tidak sesak dan sangat mudah diakses. Menurut Samuel, ia adalah perjalanan yang sempurna untuk pelancong warga emas yang lebih suka gaya hidup yang lebih santai.
Mereka meninggalkan Pulau Ketam dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan, termasuk masa yang diluangkan bersama. – ANN/TheStar