KUCHING, 14 FEB – Kenyataan Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low kepada ratu terjun Malaysia, Datuk Pandelela Rinong dianggap tidak wajar.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Pandelela telah banyak menyumbang jasa dalam sukan terjun sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Untuk Pandelela sampai ke tahap itu bukan mudah, mereka perlu mental yang kuat dengan latihan hampir setiap hari.
“Kalau nak kata dia (Pandelela) hanya mahu makan gaji, rasanya dia boleh dapat lebih banyak sebab berdasarkan pengalaman yang dia ada, dia boleh menjadi jurulatih malah lebih daripada itu. Tidak perlulah pegawai-pegawai ini memperkecilkan atlet sebegini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pandelela sebelum ini dilapor mendakwa ada ‘entiti’ yang mengganggu kem terjun Malaysia sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar mereka di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar baru-baru ini.
Dalam kenyataan balasnya, Andy dilaporkan berkata penerjun Malaysia itu hanya memberi alasan bagi menutup kegagalan di Doha kerana pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi atlet sebelum kejohanan berlangsung. – Bernama