KUALA LUMPUR, 28 Julai – Petronas telah menandatangai perjanjian dengan PTTGL Investment Ltd (PTTGLI) untuk menjual 10 peratus kepentingan ekuiti dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB).
PTTGLI, anak syarikat PTT Global LNG Company Ltd (PTTGL), adalah syarikat usahasama 50:50 antara PTT Public Company Limited (PTT), iaitu syarikat minyak dan gas milik negara Thailand dan PTT Exploration and Production Public Company Ltd.
Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, kerjasama dengan PTT adalah pemangkin pertumbuhan kumpulan dalam pasaran gas Thailand, sebahagian strategi perniagaan jangka panjangnya.
“Kerjasama strategik ini menunjukkan komitmen berterusan Petronas untuk mengembangkan perniagaan gas asli cecair (LNG) dan lebih penting membuka jalan kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam mengukuh dan memaksimumkan rantaian nilai minyak dan gas bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PL9SB, anak syarikat Petronas, memiliki tren pencairan LNG kesembilan (Tren 9) di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
Berikutan pembabitan 10 peratus PTTGLI, Petronas kini memiliki 80 peratus dalam PL9SB, manakala 10 peratus lagi dimiliki JXTG Nippon Oil & Energy Corporation melalui anak syarikatnya, Nippon Oil Finance (Netherlands) BV.
Dengan kapasiti pengeluaran 3.6 juta tan metrik setahun, Tren 9 memulakan operasi komersil pada suku pertama tahun ini, meningkatkan kapasiti output Kompleks LNG Petronas kepada 30 juta tan metrik setahun. – Bernama