Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kes dua pegawai kanan kehakiman yang mengaku tidak bersalah atas 157 pertuduhan melibatkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan pemilikan harta tanpa penjelasan disebut lagi di Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam sebutan hari ini, Peguambela Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman memaklumkan Ketua Hakim Dato Paduka Steven Chong yang dia mengundur diri daripada mewakili Ramzidah binti PDKD Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Pasangan suami isteri itu bagaimanapun masih diwakili Peguambela Sheikh Noordin bin Sheikh Mohammad, yang mana mereka memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan melantik Queen’s Counsel untuk mengetuai pasukan pembelaan dalam perbicaraan itu nanti.
Pihak pendakwaan diwakili Hajah Suriana binti Haji Radin, Suhana Sudin dan Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff.