Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesedaran kesihatan buah pinggang ditingkatkan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Bagi memupuk kesedaran mengenai kesihatan dan pencegahan penyakit buah pinggang, Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Tahun 2024 telah diadakan di Ruang Legar, The Mall, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan jerayawara itu ialah Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

    Jerayawara itu dijadikan sebagai pusat sehenti di mana pemeriksaan dan tempat konsultasi daripada pelbagai pakar berkaitan penyakit buah pinggang dijalankan serentak.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Guru Ugama Tingkat 2, Haji Mohammad Azmi bin Haji Tapau.

    Acara diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya pemeriksaan kesihatan termasuk pemeriksaan gula dalam darah, pemeriksaan air kencing dan tekanan darah, timbangan berat badan dan pemeriksaan mata.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah mengambil peluang mengunjungi petak pameran di jerayawara berkenaan sambil berinteraksi bersama peserta pameran. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah bergambar ramai bersama peserta pameran semasa jerayawara berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    ATAS & BAWAH: Orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi petak pameran semasa jerayawara berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Di samping itu, khidmat konsultasi bersama doktor renal juga tersedia selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan.

    Jerayawara turut diisi dengan sesi forum oleh pegawai perubatan serta pesakit yang menjalani rawatan penggantian buah pinggang dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyebar pengetahuan tentang penyakit buah pinggang kronik berserta komplikasinya.

    Dalam memeriahkan lagi acara berkenaan, pelbagai permainan, sukaneka dan kuiz juga dibukakan bagi penyertaan orang ramai, selain pameran rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang serta pemeriksaan kesihatan percuma.

    Jerayawara berkenaan disertai oleh Pusat Promosi Kesihatan, Klinik Berhenti Merokok, Klinik Diabetes, Klinik Obesiti, Klinik Podiatri, Klinik Mata, Klinik Psikiatri, Klinik Jantung, Pakar Pemakanan dan Farmasi.

    Turut hadir Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda