MUAN, 30 DIS – Seorang daripada dua mangsa terselamat dalam nahas pesawat yang meragut 179 nyawa kelmarin berkata dia hanya menyedari telah diselamatkan apabila sedar selepas kejadian, lapor agensi berita Yonhap.
Mangsa, seorang pramugara berusia 33 tahun yang hanya dikenali sebagai Lee, merupakan kru penerbangan pesawat Jeju Air yang terbakar selepas melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada pagi kelmarin.
Lee pada mulanya dirawat di sebuah hospital di Mokpo, 311 kilometer di selatan Seoul, sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Wanita Ewha di ibu negara.
“Ketika saya sedar, saya sudah diselamatkan,” katanya kepada doktor, menurut Pengarah hospital itu Ju Woong, dalam satu sidang media.
Ju tidak bertanya secara terperinci mengenai kemalangan itu kerana beranggapan ia tidak akan membantu proses pemulihan pesakit.
“Dia mampu berkomunikasi dengan baik. Setakat ini, tiada tanda-tanda hilang ingatan atau seumpamanya,” kata Ju.
Lee kini dirawat di unit rawatan rapi selepas disahkan mengalami patah tulang.
Ju memaklumkan mangsa diberi penjagaan rapi kerana kemungkinan komplikasi termasuk lumpuh sepenuhnya.
Sementara itu, mangsa kedua yang terselamat, seorang pramugari berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Koo sedang dirawat di Pusat Perubatan Asan, Seoul.
Koo dilaporkan dalam keadaan stabil walaupun mengalami kecederaan di pergelangan kaki dan kepala. Bagaimanapun, kakitangan perubatan enggan mengulas lanjut mengenai keadaannya.
Insiden melibatkan pesawat B737-800 milik Jeju Air itu berlaku ketika ia cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya Seoul pada Ahad.
Pesawat yang disyaki mengalami kegagalan gear pendaratan itu dilaporkan mendarat tanpa roda, menyebabkan ia tergelincir daripada landasan dan melanggar dinding pagar luar landasan.
Nahas yang berlaku sekitar 9 pagi itu menjadikan insiden ini sebagai tragedi penerbangan paling dahsyat di Korea Selatan dan ketiga paling maut yang melibatkan syarikat penerbangan Korea. – Bernama