Thursday, March 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua kesatuan Kemboja ditahan

    PHNOM PENH, 30 NOV – Kemboja telah menahan seorang pemimpin kesatuan yang mengetuai tindakan mogok ke atas kasino terbesar negara itu, menurut mahkamah hari ini, sekali gus menerima kritikan dari Amerika Syarikat (AS).

    Chhim Sithar telah lama berkempen untuk mengembalikan ratusan pekerja yang dipecat dari kasino NagaWorld di Phnom Penh semasa pandemik koronavirus.

    Dia dituduh mencabul syarat-syarat ikat jamin dengan berkunjung ke luar negara, dan ditahan pada Sabtu di lapangan terbang Phnom Penh ketika pulang dari menghadiri persidangan di Australia.

    “Chhim Sithar telah meninggalkan Kemboja tanpa kebenaran hakim mahkamah,” kata Mahkamah Phnom Penh dalam kenyataan hari ini.

    Sithar berdepan dakwaan menghasut dan sebelum ini ditahan semasa bantahan pada Januari di mana bekas pekerja kasino menuntut supaya jawatan mereka dikembalikan.

    Kumpulan hak asasi manusia berkata dakwaan adalah tidak berasas.

    Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata AS ‘amat bimbang’ dengan penahanan Sithar.

    “Kami menggesa pihak berkuasa Kemboja supaya membebaskan Chhim Sithar dan semua ahli kesatuan yang ditahan, menggugurkan dakwaan ke atas mereka dan bertindak menyelesaikan perbalahan mereka secara aman,” kata Price dalam satu kenyataan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda