Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kewajipan menghadap kiblat ketika sembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan dari minggu lepas

    HUKUM MENGHADAP KIBLAT KETIKA SEMBAHYANG

    Tuntutan menghadap kiblat ketika sembahyang hukumnya adalah wajib bagi orang yang mampu berbuat demikian, sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan dalam dua keadaan, iaitu:

    Keadaan pertama: Sembahyang yang dikerjakan sama ada sembahyang fardhu ataupun sunat ketika dalam keadaan sangat takut seperti dalam peperangan yang diharuskan.

    Termasuk juga dalam keadaan ini orang yang lari dari kebakaran, banjir, binatang buas atau ular dan dia tidak memperolehi jalan selamat daripadanya.

    Orang yang berada dalam keadaan ini tidak disyaratkan ke atasnya untuk menghadap kiblat. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Maka jika kamu takut (kepada sesuatu bahaya seperti musuh atau binatang buas) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan (dengan menghadap kiblat atau tidak).
    (Surah al-Baqarah: 239)

    Foto Canva

    Imam al-Bukhari Rahimahullah menyebutkan dalam kitab Shahihnya mengenai tafsir ayat al-Qur’an di atas, Ibn ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma ketika beliau ditanya mengenai sembahyang dalam keadaan sangat takut, beliau berkata yang maksudnya:

    Apabila keadaan ketakutan lebih dahsyat daripada itu, mereka sembahyang dengan berjalan kaki atau berkenderaan dengan menghadap kiblat ataupun tidak menghadapnya.

    Keadaan kedua: Sembahyang sunat yang dikerjakan ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat dan susah bagi seseorang itu untuk menghadap kiblat. Dalam hal ini, tidak disyaratkan baginya untuk menghadap kiblat.

    Adapun sembahyang sunat yang dikerjakan ketika dalam pelayaran bagi tujuan yang diharamkan atau sembahyang sunat ketika bukan dalam pelayaran adalah tidak termasuk dalam pengecualian ini. Ia tetap disyaratkan untuk menghadap kiblat.

    Demikian juga sembahyang fardhu yang didirikan ketika dalam pelayaran adalah tetap diwajibkan untuk menghadap kiblat. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata yang maksudnya:

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersembahyang (sunat) di atas tunggangan Baginda di mana sahaja tunggangan itu menuju arah, tetapi apabila Baginda hendak mengerjakan sembahyang fardhu Baginda turun lalu menghadap kiblat.
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, bagi orang yang mengerjakan sembahyang fardhu di atas kapal, sekiranya angin bertiup sehingga mengubah haluan kapal itu lalu terpaling daripada kedudukan kiblat, maka wajib dia mengembalikan dirinya menghadap ke arah kiblat dan meneruskan sembahyangnya.

    Oleh itu, selain daripada dua keadaan yang disebutkan di atas, tuntutan menghadap kiblat adalah wajib, sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Jika sembahyang didirikan dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka kedudukan sembahyang tersebut adalah tidak sah.

    HUKUM MENGHADAP KIBLAT BAGI ORANG YANG TIDAK MAMPU

    Adapun bagi orang yang tidak mampu menghadap kiblat seperti orang sakit yang terlantar di atas katil dan tidak ada orang yang membantu menghadapkannya ke kiblat atau seperti orang yang diikat di pohon pokok, hendaklah dia mengerjakan sembahyang dalam keadaan posisinya itu dan wajib ke atasnya mengulang sembahyangnya itu setelah dia mampu.

    Jika seseorang berada di atas tunggangan dan dia takut tertinggal oleh rakan-rakannya sekiranya dia turun daripada tunggangan untuk mengerjakan sembahyang fardhu atau dia takut terjadi sesuatu yang tidak baik ke atas diri atau hartanya, maka dia boleh mengerjakan sembahyang fardhu itu di atas tunggangannya sekalipun tanpa menghadap kiblat demi menghormati waktu dan wajib dia mengulang sembahyang tersebut. Imam an-Nawawi Rahimahullah juga menyebutkan perkara ini dalam kitabnya al-Majmu‘, katanya:

    Berkata sahabat-sahabat kami (para ulama asy-Syafi‘i): Kalau sekiranya waktu sembahyang fardhu telah masuk sedangkan mereka dalam perjalanan dan mereka khuatir sekiranya mereka turun (daripada tunggangan mereka) untuk bersembahyang di atas bumi nescaya mereka tertinggal daripada rakan-rakan mereka atau takut akan berlaku sesuatu ke atas dirinya atau hartanya, maka dalam hal ini tidak harus meninggalkan sembahyang itu dan mengeluarkannya daripada waktunya. Bahkan hendaklah dia bersembahyang di atas tunggangan bagi menghormati waktu dan wajib mengulangi sembahyang itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.

    CARA MENGHADAP KIBLAT

    Selain permasalahan hukum menghadap kiblat ketika mengerjakan sembahyang, kadang-kadang timbul juga permasalahan bagaimana cara untuk menentukan kedudukan kiblat dan bagaimana cara menghadap kiblat yang betul. Perkara ini juga amat penting untuk kita ketahui.

    Orang yang mengerjakan sembahyang dengan cara berdiri ataupun duduk disyaratkan dadanya menghadap ke kiblat. Apa yang dimaksudkan dengan dada itu ialah keseluruhan lebar badan. Jika seseorang itu menghadap tepi Ka‘bah dan sebahagian daripada lebar badannya terkeluar daripada menghadap kiblat maka tidak sah sembahyangnya.

    Adapun orang yang mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring mengiring, wajib dia menghadapkan muka dan dadanya ke kiblat. Manakala orang yang mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring menelentang, wajib dia menghadapkan muka dan kedua telapak kakinya ke kiblat.

    Bagi orang yang berada berdekatan dengan Ka‘bah, arah kiblat yang wajib dihadap ketika bersembahyang ialah ‘ain Ka‘bah itu sendiri dan hendaklah dia mengetahui secara yakin akan kedudukan Ka‘bah itu.

    Demikian juga, orang yang berada jauh daripada Ka‘bah, diwajibkan menghadap ‘ain Ka‘bah akan tetapi dalam menentukan kedudukan ‘ain Ka‘bah itu adalah memadai secara zhann sahaja.

    Apa yang dimaksudkan dengan ‘ain Ka‘bah itu ialah fizikal Ka‘bah itu sendiri dan sepanjang ruangnya di atas sehingga lapisan langit yang ketujuh dan sepanjang ruangnya di bawah sehingga lapisan bumi yang ketujuh.

    Manakala bagi orang yang mengerjakan sembahyang di dalam Ka‘bah, hendaklah dia menghadap ke dinding Ka‘bah atau menghadap pintu Ka‘bah yang tertutup. Jika dia menghadap pintu Ka‘bah yang terbuka maka tidak sah sembahyangnya melainkan bendul pintu Ka‘bah itu setinggi kadar dua pertiga hasta atau lebih.

    Adapun orang yang mengerjakan sembahyang di atas bumbung atau sutuh Ka‘bah dan menghadap pada sesuatu binaan yang bersambung dengan Ka‘bah setinggi kadar dua pertiga hasta seperti dinding, pancang atau tongkat yang dipaku di atas Ka‘bah maka sah sembahyangnya kerana dia menghadap pada suatu suku daripada Ka‘bah.

    Jika di atas Ka‘bah itu tidak ada sesuatu binaan yang bersambung dengannya atau ia tidak sampai pada kadar tinggi dua pertiga hasta maka tidak sah sembahyang di atas sutuh Ka‘bah tersebut.

    MENGETAHUI KEDUDUKAN KIBLAT

    Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, menghadap kiblat ketika sembahyang adalah wajib.

    Maka seseorang itu mestilah mengetahui kedudukan kiblat yang sebenar. Menurut
    al-‘Allamah Abu Bakar ‘Utsman bin Muhammad Syatha ad-Dimyathi Rahimahullah dalam kitab I‘anah ath-Thalibin, dalam mengetahui kedudukan kiblat itu ada empat peringkat, iaitu: Mengetahui dengan sendiri, melalui perkhabaran orang lain yang tahu (kedudukan kiblat), ijtihad dan bertaqlid kepada orang yang berijtihad.

    Huraian mengenai empat peringkat itu adalah seperti berikut:

    Pertama: Mampu mengetahui dengan sendiri kedudukan kiblat dengan melihat Ka‘bah, seperti orang yang berada di hadapan Ka‘bah atau orang yang berada di Makkah yang penglihatannya tidak terhalang daripada menyaksikan Ka‘bah itu sendiri. Demikian juga, termasuk dalam peringkat ini ialah mampu mengetahui kedudukan kiblat dengan menyentuh Ka‘bah ketika waktu gelap atau bagi orang yang buta.

    Kedua: Mengetahui kedudukan kiblat melalui pengkhabaran orang yang dipercayai yang tahu kedudukan kiblat walaupun dia seorang hamba atau perempuan seperti katanya: “Saya telah melihat Ka‘bah begini”. Adapun pengkhabaran dari orang fasiq, kanak-kanak sekalipun dia mumaiyiz dan orang kafir adalah tidak diterima.

    Termasuk dalam makna peringkat kedua ini ialah mengetahui arah kiblat melalui mihrab (tempat yang dikhaskan bagi imam dalam sembahyang) yang dibuat oleh orang-orang Islam. Begitu juga, mengetahui arah kiblat melalui kompas adalah termasuk dalam makna peringkat ini.

    Ketiga: Mampu mengetahui kedudukan kiblat dengan berijtihad melalui petunjuk-petunjuk kiblat seperti melihat kedudukan bintang, matahari, bulan dan angin.

    Keempat: Mengetahui kedudukan kiblat dengan bertaqlid (mengikut) kepada seseorang yang dipercayai tahu kedudukan kiblat dengan ijtihadnya melalui petunjuk-petunjuk kiblat walaupun dia seorang hamba atau perempuan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda