Sejak menceburi bidang seni lapan tahun lalu, populariti dimiliki penyanyi Khai Bahar mendaki dengan cukup pantas sekali.
Berbekalkan wajah kacak dan bakat, sekelip mata nama Khai meniti di bibir peminat.
Lebih membanggakan, Khai sering menjadi pilihan untuk memenangi trofi terutama dalam acara anugerah berbentuk undian.
Sehingga kini, Khai sudah menghimpun puluhan koleksi trofi, sekali gus meletakkan dirinya antara penyanyi kesayangan ramai.
Enggan membiarkan diri terus berada dalam zon selesa dengan anugerah berdasarkan undian peminat, pemilik nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin itu menyimpan hasrat memenangi anugerah diiktiraf juri.
“Saya menang banyak anugerah, tetapi semuanya berdasarkan undian.
“Sebagai penyanyi, saya teringin juga nyanyian saya mendapat pengiktirafan juri kerana ia memberi satu kepuasan.
“Anugerah daripada juri itu juga membuktikan apa yang saya buat selama ini bukanlah sesuatu yang sia-sia.
“Kalau boleh saya tak mahu berada di takuk sama. Saya perlu sesuatu yang boleh memperkukuhkan lagi jenama saya,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media single berjudul Bawa Hatiku Bersama Kamu di Indigital Music, Damansara Perdana, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Bayang itu, dia menjadikan kejayaan penyanyi lain sebagai contoh untuk memburu impiannya itu.
“Ramai juga penyanyi yang mendapat anugerah diiktiraf juri. Kalau Ernie Zakri dan Aina Abdul boleh, takkan saya tak boleh?.
“Untuk itu, bagi saya persembahan amat penting.
“Saya perlu mencari lebih banyak lagu berkualiti dan dapat diterima ramai.” – Agensi