Penyanyi Khai Bahar menafikan dakwaan gemar berhibur dan berparti selepas berkawan rapat dengan seorang pempengaruh yang juga usahawan selebriti, lapor BH Online.
Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 30, menyifatkan gosip itu sebagai cerita lama yang sengaja diputar belitkan .
Dakwa penyanyi lagu Bayang itu, dia sudah tidak lagi bersosial selepas arwah ibu jatuh sakit, dua tahun lalu.
“Saya tak kata saya seorang yang baik, tapi saya adalah jumpa kawan-kawan untuk sambut hari jadi dan makan-makan.
“Bagaimanapun, sejak emak jatuh sakit iaitu awal 2022, saya sudah kurang jumpa kawan-kawan atau lepak dengan mereka.
“Kalau lepak dengan kawan-kawan pun, kami pergi karaoke. Mungkin orang salah anggap dan menyangka saya berparti disebabkan suasana pusat karaoke itu sendiri yang agak suram apabila lampu ditutup,” katanya pada sidang media sempena pelancaran single baharu berjudul Bawa Hatiku Bersama Kamu yang di pejabat Indigital Music, Damansara Perdana, di sini, hari ini.
Khai juga tidak menganggap perbuatannya itu salah kerana tujuan dia berkaraoke hanyalah untuk berseronok.
“Saya rasa perkara itu sekadar nak hiburkan diri sendiri sebelum emak saya sakit.
“Lepas emak sakit, saya terus berhenti pergi karaoke dan lepak. Sebaliknya, saya hanya fokus kepada keadaan kesihatan emak.
“Saya tak pergi sana sini sebab melalaikan hingga boleh menyebabkan saya lupa yang emak saya sedang sakit ketika itu,” katanya.
Ditanya apakah terluka dengan gosi bertebaran, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi Smule itu memberitahu dia enggan melayan provokasi yang boleh memancing emosi.
“Siasatlah sampai dapat, saya tak buat apa-apa pun,” katanya. – Agensi