Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi KHEU hadiri persidangan di Makkah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, bersama delegasi dari Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menghadiri Persidangan ke-9 Menteri-menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam dari negara-negara Islam, bertempat di Makkah Al-Mukarramah, baru-baru ini.

    Kehadiran rombongan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama itu adalah atas undangan Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Irshad, Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr Abdullatif bin Abdulaziz Al-Sheikh.

    Persidangan itu berlangsung selama dua hari dengan tema persidangan, Peranan Kementerian-kementerian Hal Ehwal Ugama dan Wakaf dalam Mempromosikan Kesederhanaan dan Menyatukan Nilai-nilai Kesederhanaan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama Tuan Yang Terutama Sheikh Dr Abdullatif bin Abdulaziz Al-Sheikh.

    Antara yang hadir ialah menteri-menteri, mufti-mufti, ketua-ketua majlis agama Islam, dan institusi-institusi agama Islam daripada 60 buah negara yang telah mengongsikan pengalaman serta usaha masing-masing dalam pendekatan kesederhanaan dalam beragama dan langkah-langkah membenteras ekstremisme.

    Pada persidangan itu, Brunei Darussalam diberi penghormatan menyampaikan pembentangan pada sesi kelapan dengan tajuk Kaedah Komunikasi Moden dan Peranan Kementerian-kementerian Hal Ehwal Islam dan Wakaf dalam Memanfaatkannya serta Cara-cara untuk Mencegah Bahayanya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan pembentangan di persidangan itu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ucapannya antara lain telah mengongsikan bahawa Brunei Darussalam terus berusaha dalam dakwah agama Islam agar selari dan seimbang dengan kemajuan negara serta dunia global masa kini, khususnya dalam memanfaatkan komunikasi moden seperti penggunaan media sosial.

    Katanya lagi, “Kementerian Hal Ehwal Ugama (Brunei), melalui Pusat Dakwah Islamiah, juga menggalakkan penggunaan pendekatan komunikasi moden ini dengan menyalurkan informasi pengetahuan agama Islam melalui media sosial.”

    “Langkah ini diambil untuk menjamin kehidupan sosial beragama yang terarah dan terpelihara mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah Mazhab Syafie.”

    Beliau seterusnya menegaskan, negara juga tidak boleh lalai dan alpa dengan bahaya yang mungkin terhasil melalui media sosial tersebut, di mana Brunei Darussalam telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani perkara tersebut.

    Ia termasuk pendidikan agama dari peringkat awal kanak-kanak, rendah dan menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

    Dasar tersebut menjadi asas pendidikan kebangsaan negara melalui Perintah Pendidikan Ugama Wajib, selain memainkan peranan penting dalam usaha membanteras ajaran-ajaran yang tidak selari dengan ajaran Islam dan tidak sesuai dengan apa yang diamalkan di negara ini sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mengetuai delegasi dari Kementerian Hal Ehwal Ugama yang menghadiri Persidangan Ke-9 Menteri-Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam dari negara-negara Islam. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda