Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU laksana ibadah korban

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Seramai 70 orang asnaf fakir miskin dan 66 orang asnaf mualaf dari Mukim Pengkalan Batu telah menerima agihan daging korban pada Majlis Ibadah Korban Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi tahun 1445H/2024M, hari ini.

    Pada tahun ini, empat ekor lembu dan lima ekor kambing telah dikorbankan bagi majlis berkenaan dan dagingnya diagih-agih pada majlis yang diadakan di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu, Daerah Brunei dan Muara.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Turut menerima agihan daging korban termasuk peserta-peserta ibadah korban, ahli muzakarah kementerian, para jemputan dan ahli-ahli jawatankuasa yang hadir pada majlis berkenaan.

    Pengagihan daging korban disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan isteri, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri serta setiausaha tetap dan pemangku-pemangku timbalan setiausaha tetap.

    Sebelum pengagihan, Yang Berhormat Pehin dan isteri serta para jemputan khas turut serta memucang-mucang, melapah dan memotong daging ibadah korban bersama ahli Jawatan kuasa Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh serta masyarakat Mukim Pengkalan Batu dan sekitarnya.

    Selain memeriahkan Hari Raya Aidiladha, majlis berkenaan juga sebagai melahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT atas kurnia rezeki serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan warga KHEU dalam melaksanakan perkara berkebajikan.

    Ia juga merupakan satu peluang bagi warga kementerian untuk bersilaturahim dengan masyarakat di Mukim Pengkalan Batu dan sekitarnya terutama para asnaf mualaf, fakir dan miskin, serta ahli Jawatankuasa Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin melapah daging korban sebelum majlis pengagihan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Datin Hajah Nahriah menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda