Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khidmat Klinik vaksinasi ke rumah mulai hari ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak bagi perkhidmatan rumah-ke-rumah akan dijalankan minggu depan bagi penduduk-penduduk yang tidak dapat menerima vaksinasi di klinik disebabkan masalah kesihatan atau kesukaran bergerak.

    Perkhidmatan berkenaan akan dijalankan di beberapa buah mukim iaitu Mukim Lumapas, Mukim Gadong B, Mukim Kota Batu, Mukim Kuala Belait, Mukim Tanjong Maya, Mukim Seria dan Mukim Berakas A dari pukul 9 pagi hingga 2:30 petang.

    Bagi Mukim Lumapas dan Mukim Gadong B, ia akan diadakan pada 20 Disember, bagi Mukim Gadong B, Mukim Kota Batu dan Mukim Kuala Belait pada 21 Disember, bagi Mukim Tanjong Maya dan Mukim Seria pada 22 Disember manakala itu, bagi Mukim Kota Batu dan Mukim Berakas A, ia akan diadakan pada 23 Disember.

    “Penduduk yang sesuai untuk perkhidmatan rumah ke rumah ini akan dihubungi terlebih awal oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi saringan awal, dan mereka yang dihubungi perlu mengongsikan kad pengenalan atau pasport, serta kad (atau nombor) Bru-HIMS, jika ada.”

    Perkara itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Manakala itu, beliau berkata bahawa perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak bagi perkhidmatan statik akan dijalankan di Kampung Bukit Beruang, Mukim Telisai pada 22 Disember dari pukul 9 pagi hingga 2:30 petang di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman.

    Penduduk Kampung Bukit Beruang, Mukim Telisai dan persekitaran dialu-alukan hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dos kedua dan dos ketiga serta klinik vaksinasi itu juga dibukakan secara walk-in bagi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas dan belum lagi menerima vaksinasi COVID-19.

    Dokumen yang diperlukan bagi individu yang ingin mendapatkan vaksinasi berkenaan ialah kad pengenalan atau pasport, kad atau nombor Bru-HIMS, jika ada serta Kad Vaksinasi COVID-19 iaitu hanya bagi mereka yang menerima suntikan dos kedua dan dos ketiga.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda