Thursday, September 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kian Meng-Pei Jing mara ke pusingan kedua Terbuka China 2024

    KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Pemain beregu campuran profesional Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing hanya mengambil masa 31 minit untuk mara ke pusingan kedua Terbuka China 2024 selepas menewaskan wakil India Reddy B Sumeeth-Reddy Sikki hari ini.

    Pasangan yang berada di ranking ke-17 dunia itu tidak berdepan masalah mencatat kemenangan mudah 21-10, 21-16 di Changzhou.

    Menanti Kian Meng-Pei Jing di pusingan kedua esok adalah pasangan Denmark Jesper Toft-Amalie Magelund yang mara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun dalam aksi set penentuan 14-21, 22-20, 21-16.

    Satu lagi pasangan beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Yu Sin turut mara ke pusingan kedua selepas menang 21-17, 21-16 ke atas pasangan Taiwan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang.

    Pang Ron-Yu Sin bakal bertemu rakan senegara Yap Roy King-Valeree Siow yang mendapat bye di pusingan pertama bagi merebut slot ke suku akhir.

    Sementara itu, hasrat beregu lelaki Malaysia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tumpas kepada juara bertahan dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae 21-10, 21-18. – Bernama

    Aksi pemain Malaysia Tan Kian Meng (kiri) dan Lai Pei Jing bermain pukulan menentang pemain Korea Selatan di Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Suncheon pada 10 April 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda