Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kilang patuhi arahan roboh bangunan tambahan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan JPBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Sebuah perusahaan kilang besi dan aluminium di Kampung Kapok, Mukim Serasa telah diarahkan untuk menghentikan aktiviti dan merobohkan pembinaan bangunan kerana melanggar Bab 23(2), Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 (TCPO) iaitu menjalankan kegiatan perusahaan dan membina bangunan tanpa Kebenaran Perancangan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), kelmarin, kegiatan kilang besi dan aluminium itu dijalankan di dalam kawasan zon perumahan yang mana tidak sesuai untuk tujuan perusahaan tersebut.

    Bangunan tanpa kebenaran perancangan bagi perusahaan tersebut dibangunkan di atas lima lot yang mana tidak teratur dan berbahaya.

    Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan pada November 2022, pemilik tanah didapati telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti, merobohkan bangunan dan membersihkan kawasan tersebut.

    Pemajuan dan perubahan penggunaan tanpa Kebenaran Perancangan boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai.

    Dalam kenyataan itu, JPBD mengingatkan orang ramai untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 TCPO yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan.

    Kegagalan dalam mematuhi boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000, dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan bolehlah hubungi hotline JPBD di talian 8200222 atau e-mel tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    Bangunan tambahan sebuah kilang besi yang diarahkan untuk dirobohkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...