Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah ‘hidup dalam mati’ Tina Turner

    Sejak penyanyi legenda, Tina Turner, 83, meninggal dunia di kediamannya di Kusnacht, Zurich, Switzerland akibat penyakit lama dideritai pada 24 Mei lalu, pelbagai kisah silam dibangkitkan semula.

    Rakan industri muzik, personaliti berpengaruh, ahli sukan dan pemimpin antarabangsa dilihat menyelak semula lembaran sejarah yang pernah dibukukan legenda bergelar ikon ‘rock & roll’ itu.

    Segala kisah jatuh bangun Turner menjadi topik paling laris sejurus berita pemergiannya disahkan dan tersebar ke seluruh dunia, malah tidak kurang juga ada yang menyifatkan ia wajar dijadikan pedoman.

    Sebagai manusia, Turner tidak terlepas daripada berdepan rencam dugaan hidup sama ada dalam kerjaya muzik, kesihatan mahupun keluarga.

    Antara mencuri tumpuan, Turner pernah mencetuskan kontroversi dengan mendedahkan kisah rumah tangga dengan bekas suami, Ike Turner yang didakwa pernah menderanya.

    Turner menyifatkan dirinya ‘hidup dalam mati’ sepanjang berkahwin dengan Ike Turner yang meninggal dunia pada 2007. – Agensi

    Terdahulu, Turner yang menempa nama bersama Ike pada 1960 dengan penubuhan Ike & Tina Turner Revue dan berkahwin pada 1962. Mereka dikurniakan empat cahaya mata.

    Namun, penyatuan Turner dan Ike dilaporkan, dicemari dengan keganasan dan penderaan secara fizikal mahupun mental sehingga memberi kesan kewangan.

    Turner mengakui sering dipukul suami, bahkan pernah berkali-kali dikasari sebelum membuat persembahan.

    Pernah mengalami kesan melecur tahap tiga akibat disimbah kopi panas dan ditumbuk pada bahagian muka dengan kerap sehingga menyebabkan darah meresap dalam kerongkong apabila menyanyi.

    Penderaan itu juga pernah mendorong Turner untuk cuba membunuh diri agar dapat meninggalkan mimpi ngeri dalam hidupnya itu.

    Turner dilaporkan hidup dalam keadaan terseksa, malah realiti itu didedahkannya beberapa tahun selepas bercerai dengan Ike pada 1978 menerusi satu sesi wawancara.

    Berkongsi kepada People Magazine pada 1981, Turner berkata, dia sangat takut kepada Ike, selain menyifatkan dirinya ‘hidup dalam mati’ sepanjang episod hitam itu.

    “Saya tidak takut dibunuh Ike kerana saya sebenarnya sudah ‘mati’. Apabila berjalan keluar, saya tidak menoleh ke belakang.

    “Tetapi, saya sangat takut dengan lelaki itu. Saya juga takut bercakap mengenai penderaan dilakukan kerana risau apa yang akan diterima daripada Ike ketika itu,” kongsinya.

    Pasangan itu akhirnya mengambil keputusan bercerai pada 1978 selepas berdepan pelbagai liku, sekali gus menyaksikan Turner berjaya keluar daripada lohong penderitaan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda