Friday, March 14, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kluster maritim berpotensi jana sehingga $25j pendapatan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Projek Kawasan Penyahtauliahan dan Penyelenggaraan Marin Bersepadu merupakan langkah yang penting dalam penubuhan Kluster Maritim Negara Brunei Darussalam.

    Kluster Maritim Brunei Darussalam berpotensi menjana $10 juta hingga $25 juta nilai penyahtauliahan darat dan penyelenggaraan kapal dalam jangka pendek dan aspirasi untuk menjana 4,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung bagi negara dalam jangka panjang melalui peningkatan rangkaian peluang perniagaan baharu dan pembaikan infrastruktur.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika berucap pada Majlis Penandatanganan Kontrak Projek Kawasan Penyahtauliahan dan Penyelenggaraan Marin Bersepadu yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Menurutnya, ia menggariskan komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk merangsang dan memudahkan pembangunan sektor bukan minyak dan gas sebagai sebahagian daripada matlamat wawasan 2035 ke arah sebuah ekonomi mampan dan dinamik serta matlamat pembangunan mampan global bagi pertumbuhan ekonomi dan kerja yang baik.

    Beliau menambah penubuhan Anson International Sdn Bhd dan penandatanganan perjanjian projek berkenaan merupakan mercu tanda yang penting bagi pembangunan Kluster Maritim Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyaksikan pameran Kluster Maritim Negara Brunei Darussalam.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato berkata majlis penandatanganan kontrak berkenaan adalah bagi projek untuk melabur, membangun, mengendali dan menyelenggarakan sebuah Kawasan Penyelenggaraan dan Penyahtauliahan Marin Bersepadu di Brunei Darussalam.

    Ia juga menandakan pelancaran Kluster Maritim Brunei Darussalam di mana kawasan bersepadu itu akan bertindak sebagai kemudahan sauh bagi memangkinkan pembangunannya.

    Projek itu menjadi contoh manfaat yang dapat diperoleh rakyat, ekonomi dan negara apabila sektor awam dan swasta bekerjasama rapat ke arah pencapaian agenda mempelbagaikan ekonomi negara menerusi pendekatan seluruh negara.

    Dalam hubungan itu, syarikat-syarikat yang memeterai perjanjian iaitu Haji Adinin and Sons Sdn Bhd, CessCon Decom Ltd dari United Kingdom dan Dongil Shipyard Co Ltd dari Republik Korea telah dipilih menerusi proses pembidaan terbuka dan kompetitif yang dipermudahkan oleh BEDB untuk mengusahakan projek penting dalam kolaborasi dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Penyertaan syarikat-syarikat antarabangsa sebagai rakan kongsi teknikal dalam projek itu menunjukkan keyakinan pelabur-pelabur asing dalam ekonomi dan potensi pertumbuhan negara.

    Ke hadapan, tambah Yang Berhormat Dato, kawasan berintegrasi itu dijangka akan memacu pembangunan perkhidmatan perindustrian tambahan untuk menyokong operasinya, mempromosikan peluang dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dan syarikat-syarikat asing serta bertindak sebagai satu dorongan bagi pembangunan industri baharu lain di bawah sektor perkhidmatan.

    Beliau berkata peluang-peluang spin-off bagi usahawan tempatan menceburi bersama pakar-pakar luar dalam perkhidmatan industri lain akan menjana lebih banyak peluang pelaburan dan pemindahan teknologi dan ilmu pengetahuan kepada PMKS tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda