Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Koike dijangka menang penggal ketiga pilihan raya Gabenor Tokyo

    TOKYO, 7 JULAI – Jepun mengadakan pilihan raya untuk memilih Gabenor Tokyo, hari ini, yang menyaksikan penyandang jawatan itu, Yuriko Koike, berdepan saingan utama daripada tokoh pembangkang, Renho.

    Kedua-dua mereka adalah tokoh wanita yang tidak asing lagi dalam arena politik Jepun yang didominasi golongan lelaki.

    Jepun tidak pernah dipimpin oleh Perdana Menteri wanita, malah sebahagian besar Ahli Parlimen di Jepun adalah golongan lelaki.

    Namun, Tokyo, yang menyumbang satu per sepuluh daripada populasi negara dan satu per lima daripada ekonomi, telah dipimpin oleh bekas penyampai berita di stesen televisyen, Koike, 71, sejak 2016.

    Walaupun ramai yang tidak lagi melihat Koike, bekas menteri pertahanan dan alam sekitar itu, sebagai calon perdana menteri masa depan seperti yang pernah diharapkan dahulu.

    Hasil tinjauan meramalkan beliau mencatat kemenangan untuk penggal ketiga berturut-turut pada pilihan raya di kota metropolitan yang mempunyai 14 juta penduduk itu.

    Kemenangan tersebut bakal memberi sedikit kelegaan kepada Parti Liberal Demokratik (LDP) yang diterajui oleh Perdana Menteri Fumio Kishida, yang menyokong Koike, walaupun beliau berpisah daripada parti itu pada 2017. Pilihan raya negara dijangka akan diadakan menjelang akhir 2025.

    Kishida, yang kadar sokongan awamnya semakin menurun kepada sekitar 20 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh skandal dana politik yang didedahkan akhir tahun lalu, juga akan menghadapi pemilihan kepimpinan LDP pada akhir tahun ini. – AFP

    Koike ketika menyampaikan ucapan semasa kempen pilihan raya di Tokyo pada 6 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda