Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kolaborasi penyelidikan bantu capai SDG

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Penolong Pensyarah dari Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Salwana Md. Jaafar telah memulakan perjalanan transformatif selama dua minggu ke Universiti Stanford.

    Lawatan beliau telah dibiayai oleh Nanyang Technological University Singapore (NTU Singapura) dan disokong oleh UBD, dan ia merupakan komponen penting dalam projek kolaboratif yang melibatkan IBER, Asian School of Environment (ASE) di NTU Singapura dan Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

    Beliau menerima keistimewaan menjadi tetamu kepada Profesor Madya Dr Kabir Peay, Pengarah Program Sistem Bumi dan seorang saintis yang terkenal dengan kepakarannya dalam kepelbagaian biologi kulat dan interaksi mikrob tanah di Universiti Stanford.

    Semasa di Stanford, beliau terlibat dalam program intensif yang memberikan tumpuan kepada latihan dan analisis bioinformatik, menggunakan sampel tanah yang dikumpul dari hutan hujan tropika Brunei pada tahun 2023.

    Sebagai sebahagian daripada projek kolaboratif tersebut, sampel pada awalnya dieksport ke NTU Singapura untuk pengekstrakan dan penjujukan DNA tanah, yang kemudian data tersebut digunakan dalam latihan bioinformatik.

    Dr Salwana memulakan perjalanan transformatif selama dua minggu ke Universiti Stanford. – GAMBAR SERAHAN UBD
    Salah satu aktiviti yang diadakan semasa lawatan Dr Salwana ke Universiti Stanford. – GAMBAR SERAHAN UBD

    Lawatan beliau diperkaya dengan aktiviti lain termasuk kuliah, kelas praktikal, lawatan lapangan dan mesyuarat makmal, mempertingkat lagi pemahaman dan pandangan beliau dalam bidang pengajiannya.

    Dengan lawatan itu, beliau menyampaikan penghargaan ikhlas kepada UBD, NTU Singapura dan Universiti Stanford atas sokongan dan bimbingan yang tidak ternilai dalam perjalanan akademiknya.

    Kerjasama penyelidikan IBER dengan NTU Singapura dan Universiti Stanford, bertumpu sekitar hutan paya gambut asli Brunei, telah menyumbang secara langsung ke arah usaha pemuliharaan negara oleh Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan.

    Projek-projek ini juga telah membantu pencapaian Brunei ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan menandakan pencapaian penting dalam visi IBER sebagai pusat kecemerlangan untuk penyelidikan biodiversiti dan alam sekitar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda