Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komik media sosial kembang karya pelukis komik

    KUALA LUMPUR – Tidak dapat disangkal dalam zaman serba canggih beserta kepantasan perubahan teknologi terutama yang membabitkan media sosial, ia banyak menyumbang kepada pembangunan tidak kira daripada aspek ekonomi, sosial, pendidikan mahupun daripada sudut kerjaya seseorang individu.

    Pada saat ramai yang memilih untuk menjana pendapatan sama ada sepenuh atau separuh masa melalui ‘perniagaan dalam talian’ dengan produk tertentu seperti beg tangan berjenama, produk kesihatan, kosmetik, pakaian dan makanan, berlainan pula dengan Mohd Rashidi A. Rahim atau lebih dikenali dengan nama komersialnya ‘Danial Haikal’.

    Pelukis komik bebas media sosial yang menghasilkan komik daripada pelbagai genre ini memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial sebagai pengantara utama untuk beliau berkongsi dan mempromosi hasil karya lukisannya sekaligus membangunkan jenama komiknya sendiri.

    “Oleh kerana minat yang mendalam terhadap lukisan dan komik saya tekad berhenti kerja dan mula serius dalam penghasilan komik sejak 2014.

    “Meskipun pada awalnya saya sendiri tidak menyangka sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai eksekutif di sebuah hospital swasta di ibu negara, namun saya juga percaya selagi tidak memulakan ‘langkah pertama’ saya tidak akan dapat mengukur kemampuan diri untuk mencapai cita-cita saya sejak dibangku sekolah,” katanya memulakan bicara.

    Pelukis komik bebas media sosial yang menghasilkan komik daripada pelbagai genre ini memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial sebagai pengantara utama untuk beliau berkongsi dan mempromosi hasil karya lukisannya.
    Pelukis komik bebas media sosial yang menghasilkan komik daripada pelbagai genre ini memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial sebagai pengantara utama untuk beliau berkongsi dan mempromosi hasil karya lukisannya.
    Danial Haikal (kiri) bersama dengan pelukis-pelukis komik yang lain.
    Danial Haikal (kiri) bersama dengan pelukis-pelukis komik yang lain.

    Komik media sosial

    Mengulas lanjut Danial Haikal berkata komik media sosial adalah karya lukisan komik yang dikongsi dan dipromosi secara dalam talian melalui platform media sosial.

    Berbekalkan tekad dan minat yang mendalam, jejaka berusia 31 tahun yang penuh dengan sifat ‘sense-of-humor ini’ bermula dengan mewujudkan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dengan nama profil ‘Paradecomix’, atas tujuan mempromosi karyanya kepada umum, khususnya generasi X dan Y. “Berbeza dengan komik yang dicetak yang memfokuskan kepada jualan, komik media sosial lebih kepada perkongsian dan tujuan promosi di mana kita mahu mencapai status “tular” dan mencipta jenama sendiri.

    “Setiap pelukis komik perlu bekerja keras untuk mempertingkatkan ‘nilai’ dan jenama mereka. Saya bermula dengan menghasilkan komik media sosial untuk bacaan sesiapa sahaja yang melawati profil ‘Paradecomix’ secara percuma. Ini kerana sebagai ‘amatur’ ketika itu, apa yang penting saya mahu mendekati pembaca melalui karya yang lebih personal tetapi dengan skop yang lebih terbuka,” katanya.

    Terdapat pelbagai tema dan tujuan komik media sosial dihasilkan antaranya menyampaikan maklumat, mendidik, dakwah, tutorial, jualan produk, sindiran dan hiburan. “Lazimnya, saya memfokuskan kepada insiden atau perkara yang sedang tular di negara ini. Penggunaan lawak yang tidak melampau dan karakter yang mewakili masyarakat biasa, disertai pemilihan topik yang bersesuaian juga perlu dititikberatkan agar mendapat respon positif daripada pembaca.

    “Tajuk drama, artis atau mereka yang tular dalam media sosial antara yang menjadi elemen atau bahan dalam hasil karya saya sebagai contoh drama ‘Suri Hati Mr Pilot’ yang menjadi ikutan majoriti rakyat Malaysia sebelum ini,” katanya.

    Jadi perhatian

    Mengenai perkembangan kerjayanya, lulusan Sarjana Muda bidang Pengurusan Sistem Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Perdana ini berkata karya beliau mula mendapat perhatian sehingga dilamar penerbit yang menawarkan peluang untuk beliau menghasilkan komik bercetak.

    Komik ‘debut’ pertama beliau adalah pada tahun 2015 berjudul ‘Sayang Ummi’ yang diterbitkan oleh Humaira Publications. “Untuk komik yang diterbitkan ini, saya lebih fokus kepada mesej positif yang mempunyai pengajaran.

    “Meskipun gaya penceritaan adakalanya menggunakan pendekatan berbeza seperti sindiran, apa yang penting mesej sampai kepada pembaca. Selain elemen humor turut diselitkan agar penyampaian komik lebih santai dan berkesan, gaya lukisan mengikut tema dan pelbagai amat penting agar secara tidak langsung boleh menarik lebih ramai pembaca,” katanya.

    Selain menghasilkan beberapa komik mengikut kehendak pelanggan ketika ini, beliau juga dalam proses menghasilkan beberapa komik dengan tema kanak-kanak bersama sebuah lagi penerbit novel remaja dan komik, Blink Book Sdn. Bhd.

    Keghairahan pelukis-pelukis komik media sosial perlu dikawal bahkan golongan itu sendiri perlu berhati-hati dalam menghasilkan karya.
    Keghairahan pelukis-pelukis komik media sosial perlu dikawal bahkan golongan itu sendiri perlu berhati-hati dalam menghasilkan karya.

    “Saya juga aktif menghasilkan komik untuk terbitan sendiri atau ‘zine’ (komik yang dicetak dan dijual sendiri di mana-mana program) dan bergerak bersama kelab komuniti komik Malaysia, Comicore Club,” katanya. Beliau juga menganjurkan pelbagai acara berkaitan lukisan dan komik terutamanya kepada pelukis muda.

    Masa hadapan

    Tidak menolak persepsi majoriti masyarakat di negara ini bahawa komik hanyalah untuk kanak-kanak, beliau berkata komik pada hari ini mempunyai pelbagai kategori yang mempunyai peminat daripada pelbagai peringkat umur. Turut ditanya mengenai komik media sosial, anak ketiga daripada lima beradik ini berpendapat ia adalah trend masa kini atas kapasiti lebih mudah untuk dihasilkan dan mendapat perhatian serta akses secara terus daripada pembaca.

    Namun begitu, keghairahan pelukis-pelukis komik media sosial perlu dikawal bahkan golongan itu sendiri perlu berhati-hati dalam menghasilkan karya.

    “Apa yang saya lihat hari ini, ada komik media sosial yang menyentuh isu sensitif seperti seksualiti dan perkauman selain secara terbuka menggunakan kata-kata kesat dalam karya mereka. Dan lebih malang lagi, komik sebegini mudah mendapat perhatian dan menular dengan pantas.

    “Penularan komik dengan gaya dan mesej negatif sebegini boleh membantutkan usaha pelukis dan penerbit komik yang mahu mempromosikan komik dengan mesej positif. Komik negatif bukan sahaja akan memberikan impak tidak baik kepada kanak-kanak dan remaja bahkan turut mendapat tentangan dan penolakan daripada golongan ibu bapa yang dikhuatiri boleh menjejaskan industri komik tempatan,” katanya.

    Tambahnya, komik media sosial sebetulnya mampu menjadi ‘pembuka mata’ dan memberi pendedahan kepada pelukis baharu jika digunakan sebaiknya, terutamanya kepada golongan pelukis muda.

    “Walaupun keuntungan bukanlah tujuan utama komik media sosial, pendedahan yang ada membolehkan pengkarya membina jenama dan kelompok pengikut mereka sendiri. Cabaran untuk menghasilkan komik yang mudah mendapat perhatian pembaca atau ‘netizen’, adalah bonus kepada pengkarya.

    “Saya cuma berharap agar ada perkembangan yang lebih positif dengan kurangnya perhatian kepada komik dengan mesej negatif. Setiap perkara pasti akan ada hitam putih, baik buruknya maka berbalik kepada tanggungjawab pengkarya untuk membentuk corak minda pembaca melalui hasil karya mereka,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda