Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited promosi pendidikan berkualiti

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Tumpuan kepada pendidikan berkualiti harus terus diberikan keutamaan untuk memastikan perkembangan berterusan dalam akses kepada kesaksamaan dalam pendidikan.

    Negara-negara, kerajaan dan para pemimpin harus terus berusaha mencapai kesaksamaan dalam pendidikan walaupun menghadapi cabaran dan halangan yang kompleks seperti bahasa, lokasi dan pelbagai batasan lain.

    “Memandangkan jurang sosial semakin luas dan inflasi global menjejaskan kehidupan masyarakat, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan pendidikan berkualiti adalah inklusif dan diberikan kepada semua orang, tua dan muda, tanpa mengira status, etnik, jantina atau latar belakang,” sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa perasmian Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-20, 2024 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersabda tidak dapat dinafikan bahawa kita semua akan mendapat manfaat daripada kerjasama erat berterusan antara kerajaan dalam memerangi cabaran-cabaran global yang meningkat. Oleh itu, semua negara harus kekal komited kepada tindakan kolektif dan mempromosikan pendidikan berkualiti untuk semua kanak-kanak selain bertanggungjawab menghapuskan halangan yang menghalang ekuiti, keterangkuman dan kualiti pendidikan.

    “Kita mesti menyedari bahawa ketidaksamaan yang berleluasa dalam pendidikan hanya akan mengekalkan peminggiran kumpulan yang kurang bernasib baik dan komuniti yang terdedah, seperti etnik minoriti, orang miskin, wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk penduduk yang kurang bernasib baik dan migran,” sabda Yang Teramat Mulia.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyampaikan sabda pada persidangan tersebut.
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan merasmikan persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan bergambar ramai semasa persidangan yang berlangsung di ICC, kelmarin. GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam hubungan itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan pengajaran berkualiti di setiap peringkat pendidikan, di mana pendidik sekolah memberikan perhatian gigih dan konsisten kepada strategi pengajaran mereka, pedagogi, bahan pembelajaran, penilaian, kepimpinan sekolah, pembangunan profesional, penglibatan dan sokongan ibu bapa serta memahami keperluan dan kekuatan kanak-kanak individu.

    Pendidikan berkualiti adalah disokong dengan memastikan sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran mampu memperkasakan, di mana guru-guru dapat mengaplikasikan pendekatan inovatif dan menggalakkan pelajar untuk menjadi pemikir kritis, pelajar aktif dan warga global yang prihatin.

    “Adalah penting untuk mendidik dan melibatkan belia kita, sebagai agen perubahan masa depan, untuk pembangunan dan kemajuan bersepadu rakyat kita dan negara kita yang tercinta, Brunei Darussalam,” sabda Yang Teramat Mulia.

    Dalam hubungan itu, ISB BGIC telah menyediakan sebuah platform bagi golongan muda kita untuk mencontohi pemimpin-pemimpin dunia dalam menghasilkan resolusi untuk mempromosikan pendidikan berkualiti untuk semua, mengurangkan jurang perbezaan dan memastikan pembangunan mampan, saksama dan efisien yang memberikan manfaat kepada manusia.

    “Oleh itu, saya menggesa perwakilan muda kita untuk sentiasa mengikuti teladan yang ditunjukkan oleh pemimpin dunia kita yang bekerja bersama di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.”

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah juga menggesa mereka menjadi yakin dan lantang dalam menyampaikan pendapat tetapi kekal mempunyai minda terbuka, hormat-menghormati dan menerima semasa perbahasan jawatankuasa mereka.

    Yang Teramat Mulia turut berharap para perwakilan muda memahami melalui latihan mustahak yang dilaksanakan di BGIC, yang merupakan bahagian penting persiapan mereka bagi kehidupan masa akan datang di universiti dan di tempat kerja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda