MUNICH, 3 DIS – Jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany, kelmarin berkata dia berharap penyerang bintang yang cedera, Harry Kane, dapat kembali bermain sebelum akhir tahun ini.
“Ada kemungkinan dia akan bermain lagi tahun ini,” kata Kompany dalam sidang media menjelang perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Jerman menentang juara bertahan, Bayer Leverkusen.
Penyerang berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan hamstring semasa keputusan seri 1-1 menentang Borussia Dortmund semasa perlawanan Bundesliga pada Sabtu lalu dan akan terlepas beberapa perlawanan, tambah Kompany. Pendahulu Bundesliga itu mempunyai lima perlawanan sebelum cuti akhir tahun, termasuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk.
Kapten England, Kane, menjadi pemain utama Bayern dengan mencatatkan 20 gol dalam semua kejohanan sejak permulaan musim ini.
“Kami tidak boleh menggantikannya. Dia adalah pemain terbaik. Tetapi kami akan mencari jalan penyelesaian yang berbeza. Kami masih mempunyai pemain yang berbakat,” kata Kompany.
“Kami mempunyai beberapa pilihan Thomas Mueller, Mathys Tel, Serge Gnabry, Michael Olise, Leroy Sane. Mungkin bukan Kingsley Coman di posisi itu.
“Harry menjaringkan 20 gol. Awda tidak boleh menggantikan itu. Tetapi kami mempunyai pemain yang boleh menjaringkan gol, termasuk Jamal (Musiala). Kami akan mencari penyelesaian. Kami mempunyai cukup pemain untuk mengisi peranan itu, walaupun tidak boleh menggantikan golnya secara langsung.”
Gnabry masih tidak pasti diturunkan untuk aksi piala hari ini selepas turut terlepas perlawanan menentang Dortmund akibat masalah lutut.
Bagaimanapun, pemain tengah Joao Palhinha kembali menjalani latihan kelmarin selepas pulih daripada kecederaan otot yang dialaminya semasa tugasan antarabangsa bersama Portugal bulan lalu. – AFP