Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konflik Syria ubah hutan jadi padang jarak padang terkukur

    JAABAR, SYRIA – Di sepanjang tebing sungai di utara Syria yang dilanda peperangan, penebangan pokok telah mengurangkan kawasan hutan yang dahulunya hijau merimbun menjadi pokok-pokok yang tersebar dan pucuk-pucuk yang mencucuk keluar dari tanah kering dan rapuh.

    Konflik selama 12 tahun yang membawa kepada peningkatan dalam pembalakan haram, bersama dengan kesan perubahan iklim dan faktor lain, telah menghakis kehijauan Syria.

    “Hutan yang semakin berkurangan di tepi Sungai Furat sedang menyusut setiap tahun,” kata Ahmed al-Sheikh, 40, pemilik pasar raya di perkampungan Jaabar, wilayah Raqa, Syria yang dikuasai Kurdish.

    “Sebelum ini, hutan tersebut akan menarik pelancong, burung-burung, membersihkan udara dan melindungi kawasan itu daripada ribut debu,” katanya.

    Namun, kekurangan bahan api dan kemiskinan yang berleluasa semasa perang telah memaksa ramai rakyat Syria untuk menebang pokok-pokok untuk dijual atau digunakan sebagai bahan api, menyebabkan kawasan sekitar Jaabar terjejas.

    Pemandangan Rizab Tabqa berhampiran perkampungan Jaabar, di timur laut wilayah Raqa, Syria, pada 11 Julai. – Gambar AFP
    Seorang wanita menunggang keldai membawa kayu dari pokok yang dipotong di rizab alam semula jadi Gunung Abdulaziz berhampiran bandar Hasakeh di timur laut Syria pada 19 November 2022. – Gambar AFP
    Kanak-kanak Syria membawa kantung kayu yang dipotong daripada pokok di rizab alam semula jadi Gunung Abdulaziz berhampiran bandar Hasakeh di timur laut Syria baru-baru ini. – Gambar AFP
    Kanak-kanak Syria memuatkan keldai dengan kayu yang dipotong daripada pokok di rizab alam semula jadi Gunung Abdulaziz berhampiran bandar Hasakeh di timur laut Syria baru-baru ini. – Gambar AFP

    Kubu kota purbanya telah menjadikan kampung itu sebagai tarikan pelancong yang popular sebelum perang, dengan projek penanaman semula hutan yang dilancarkan pada pertengahan 1990an memberikan ketenangan di tengah-tengah panas yang membakar.

    “Ada yang menebang pokok untuk dijual bagi mendapatkan wang, ada juga yang menebangnya untuk memanaskan badan semasa musim sejuk,” kata Ahmed.

    “Jika ini berterusan, penggurunan akan menyusul.”

    Penduduk-penduduk memberitahu AFP bahawa mereka mendengar pembalak menunggang motosikal masuk ke dalam hutan pada waktu malam untuk menebang pokok-pokok.

    Bahkan pada waktu siang, lelaki muda menyelinap ke dalam hutan untuk menebang pokok-pokok, mengelak daripada beberapa pengawal hutan yang meronda di kawasan hijau yang luas.

    Tiada lagi tempat berteduh

    Peperangan di Syria telah meragut lebih 500,000 nyawa dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

    Ia juga telah merosakkan alam sekitar, mencetuskan kehilangan litupan hutan yang ‘membimbangkan’ di seluruh negara, kumpulan pembina keamanan Belanda (PAX) memberi amaran dalam laporannya pada awal tahun ini.

    “Negara ini telah menyaksikan penurunan 26 peratus dalam litupan pokok sejak 2000,” menurut data dari Global Forest Watch.

    Sepuluh kilometer dari Jaabar, nasib yang sama telah menimpa pokok-pokok di Tuwayhina.

    “Pada zaman kanak-kanak saya, kami pernah datang ke sini bersama rakan-rakan untuk duduk di bawah naungan pokok-pokok kayu putih dan pain,” kata Mohammed Ali, yang dikelilingi batang pokok yang berselerak di kawasan yang panas membahang.

    “Tetapi sekarang ia adalah tanah tandus,” kata jururawat berusia 30 tahun itu. “Sekarang, tiada lagi tempat berteduh, yang tinggal hanyalah bahang matahari di mana-mana.”

    “Ribut debu tidak pernah berhenti, tasik semakin kering dan tiada pokok yang tinggal,” kata Ali, merujuk kepada Tasik Assad, takungan empangan air tawar terbesar di Syria.

    Paras air telah menurun dan pencemaran semakin teruk di Sungai Furat dan empangannya, dengan aliran sungai terus terjejas oleh empangan hulu di Turki.

    Penebangan hutan di Syria sebahagian besarnya disebabkan oleh pembalakan bagi mendapatkan kayu api, menurut laporan PAX.

    “Harga bahan api yang melambung tinggi digabungkan dengan pemindahan besar-besaran merupakan faktor utama penebangan hutan berskala besar di seluruh Syria,” katanya.

    “Orang awam menebang pokok bagi tujuan memasak dan memanaskan rumah, manakala terdapat petunjuk jelas bahawa kumpulan bersenjata juga menjadikan pembalakan haram dan penjualan kayu sebagai sumber pendapatan.”

    Pemandangan yang penuh kehijauan

    “Hutan yang dahulunya padat di barat Syria telah mengalami kemerosotan paling teruk disebabkan oleh peperangan, kebanyakannya akibat penebangan pokok dan kebakaran hutan,” kata PAX.

    Wilayah Latakia, Hama, Homs dan Idlib telah kehilangan sekurang-kurangnya 36 peratus pokok dalam tempoh satu dekad selepas tahun 2011, ketika konflik meletus, menurut PAX.

    “Di bahagian timur laut, pihak berkuasa tiada data yang tepat mengenai kerosakan itu tetapi kesannya jelas,” kata Ibrahim Asaad, yang mempengerusikan bersama badan alam sekitar pentadbiran separa autonomi Kurdish, kepada AFP.

    Kawasan itu merupakan pusat utama penghasilan makanan negara pada zaman sebelum perang, tetapi telah menyaksikan kemarau yang teruk dan hujan yang berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Di pinggir Hasakeh, sebuah bandar di sebelah timur, rizab Gunung Abdulaziz telah terjejas oleh musim kemarau dan beberapa pembalakan haram.

    “Pokok-pokok itu sebelum ini menyediakan pemandangan alam sekitar yang penuh dengan kehijauan,” kata Hussein Saleh al-Helou, seorang penduduk berusia 65 tahun dari kampung Al-Naseri.

    “Tetapi sekarang tiada air, pokok-pokok berhampiran kampung telah layu… dan orang ramai mula menebangnya,” katanya kepada AFP, dikelilingi oleh tanah lapang dan bukit-bukit yang tandus.

    “Pembalakan telah memberi impak yang besar kepada kampung ini,” kata Helou.

    “Suhu telah meningkat, dan cuaca tidak sama lagi.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda