WASHINGTON, 3 DIS – Lebih AS$250 bilion telah dicuri di Amerika Syarikat (AS) akibat skim penipuan dalam pembayaran bantuan kerajaan semasa pandemik COVID-19, menurut laporan ahli kongres AS susulan siasatan selama dua tahun.
“Penipu telah menyebabkan pembayar cukai Amerika kerugian lebih AS$191 bilion dengan mengambil kesempatan ke atas sistem pengangguran kerajaan persekutuan dan mengeksploitasi maklumat peribadi individu,” kata laporan yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Kecil Pilihan mengenai Pandemik Koronavirus.
Selain itu, sekurang-kurangnya AS$64 bilion dana kerajaan AS telah dicuri oleh penipu dan penjenayah yang mengambil kesempatan ke atas “Program Perlindungan Gaji” yang menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman yang boleh dimaafkan jika dana itu digunakan untuk mengatasi kesukaran akibat pandemik.
Pada masa sama, sekitar AS$200 juta telah hilang akibat kawalan yang lemah terhadap sokongan untuk perniagaan kecil. – Bernama