Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsul Jeneral China mohon media hormati privasi mangsa bot karam

    KOTA KINABALU, 31 Jan – Konsul Jeneral China di sini Chen Peiji memohon pihak media menghormati privasi mangsa bot karam yang sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth di sini.

    Katanya Konsulat China menghargai keprihatinan rakyat Malaysia yang berkongsi kesedihan selain bersedia membantu mangsa dan keluarga, namun pada masa sama harus ambil kira privasi mereka yang terlibat dalam tragedi itu.

    “Saya hargai kemesraan semua pihak yang datang ke hospital tetapi tolonglah jangan rakamkan dialog (temu bual) dengan mangsa.

    “Tolong jangan ambil gambar mangsa kerana mereka alami banyak kecederaan pada anggota tubuh mereka. Biarlah mereka dalam persekitaran yang aman untuk sembuh dan paling penting jangan ambil gambar dan terbitkan kepada awam,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di pusat media Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Likas, di sini hari ini.

    Mengenai keadaan mangsa yang sedang dirawat, Chen berkata keadaan mereka bertambah baik.

    Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming (tengah) bersama Konsulat Jeneral China Ke Sabah Chen Peijie (kiri) diberi taklimat ringkas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pelancong ketika melawat mangsa yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth hari ini. – Bernama
    Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming (tengah) bersama Konsulat Jeneral China Ke Sabah Chen Peijie (kiri) diberi taklimat ringkas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pelancong ketika melawat mangsa yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth hari ini. – Bernama

    Mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak berkuasa Malaysia, Chen berkata China berpuas hati dengan semua langkah yang diambil pihak berkuasa Malaysia.

    Mereka juga terharu kerana turut mendapat perhatian pemimpin tertinggi Malaysia sekali gus memberi penekanan akan pentingnya operasi SAR itu bagi Malaysia, katanya. Chen berkata beliau dimaklumkan kawasan operasi turut diperluas hari ini.

    “Kami cuma berharap usaha diteruskan. Tolong jangan berputus asa sehingga semua mangsa yang masih hilang ditemukan. Saya juga ingin menyampaikan pesanan daripada presiden saya, Xi Jinping, supaya jangan biarkan seorang pun pelancong China berkenaan tidak jumpai,” katanya.

    Katanya beliau dimaklumkan operasi diperhebat pada jam-jam terakhir daya tahan seseorang mangsa yang jatuh ke laut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda