Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan hulur bantuan kepada Turkiye, Syria

    SEOUL, 10 FEB – Pemain industri Korea Selatan, termasuk Samsung, SK dan LG hari ini memaklumkan bahawa mereka menawarkan sumbangan dan barangan bantuan untuk membantu usaha pemulihan Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi.

    Samsung Electronics Co akan menyalurkan sokongan bernilai AS$3 juta, termasuk AS$1.5 juta dana bantuan, lapor agensi berita, Yonhap.

    Pihaknya juga akan menghantar peralatan dan gajet bernilai AS$1.5 juta, seperti peranti diagnosis ultrasonik mudah alih dan tablet, manakala dana bantuan itu akan disalurkan kepada agensi kerajaan Turkiye yang mengendalikan krisis bencana.

    Hyundai Motor Group memaklumkan pihaknya akan menyediakan AS$1.8 juta kepada Turkiye dan AS$200,000 kepada Syria.

    SK Group pula akan menyediakan AS$1 juta sebagai bantuan kepada kedua-dua negara dan disalurkan melalui Community Chest of Korea, menurut organisasi itu dalam satu kenyataan.

    “Kami memutuskan untuk memberi bantuan segera bagi membantu mereka pulih pada peringkat awal dan menyertai usaha bantuan global,” kata ketua jawatankuasa nilai sosial SK, Cho Kyung Mok.

    Sementara itu, LG Group akan menderma AS$1 juta melalui Palang Merah Korea. Wang itu akan digunakan untuk membantu usaha pemulihan di Turkiye dan menyokong mangsa tragedi.

    “Kami memutuskan untuk menyediakan dana itu dengan harapan ia akan membantu memulihkan kawasan yang terjejas dengan pantas,”kata seorang pegawainya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda