KOTA KINABALU, 31 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sabah merampas kira-kira 29 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM97,346 dalam serbuan di satu premis perniagaan di Inanam dekat sini kira-kira pukul 9:30 pagi semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasanya Yahya Sujak berkata pemeriksaan ke atas premis itu, yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang memiliki lesen borong di Sandakan, selepas disyaki membuat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi untuk dijual pada harga tinggi dipercayai untuk dieksport.
“Syarikat itu memiliki lesen barang kawalan berjadual dengan had simpanan kuantiti dilesenkan sebanyak 20 tan metrik.
Namun, siasatan mendapati syarikat ini telah ada dalam simpanan mereka barang kawalan iaitu minyak masak melebihi had kuantiti yang dilesenkan,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini hari ini.
Yahya berkata dalam serbuan itu, tiga lelaki berumur lingkungan 30-an berada di premis itu dan ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau menjelaskan serbuan itu dibuat selepas menyiasat dokumen berkaitan syarikat terbabit susulan rampasan
Sejumlah 28,898kg minyak masak bersubsidi dirampas pada 23 Mei lalu di Pelabuhan Sandakan disyaki untuk di-seludup ke luar negara dan di sebuah kilang membungkus minyak masak bersubsidi di Sandakan dua hari kemudian.
Menurutnya kesemua kesalahan itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Katanya, sabit kesalahan, pihak syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta, manakala pemilik syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama