Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPKM setuju ubah ladang ayam kepada kaedah terbuka

    KUALA LUMPUR, 25 OKT – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia bersetuju dengan langkah mentransformasikan sistem ladang ayam tertutup kepada kaedah terbuka bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kesan alam sekitar.

    KPKM dalam kenyataan berkata persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Exco Pertanian Negeri di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur pada Selasa.

    KPKM berkata transformasi itu selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs) dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan kemampanan industri ternakan ayam.

    “Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemain industri penternakan ayam adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan transformasi industri ini agar matlamat Kadar Sara Diri (SSR) ayam dan telur seperti digariskan dalam DAN 2.0 dapat dicapai,” menurut kenyataan itu.

    KPKM berkata mesyuarat turut mengambil maklum berhubung Indeks Penarafan Bintang (STAR-Rating) pesawah menerusi pelaksanaan secara berperingkat ke seluruh negara.

    Program STAR-Rating itu diwujudkan untuk membantu dalam perancangan dan pemantauan prestasi pesawah dan aktiviti penanaman padi di sesebuah kawasan sebagai antara usaha transformasi industri padi dan beras negara, dengan pesawah akan didaftar dan dikelaskan mengikut status, kapasiti, produktiviti dan daya maju.

    Seterusnya mesyuarat mengambil maklum akan Status Pelaksanaan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024, dengan kerajaan melalui Belanjawan 2024 sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi Pelaksanaan Program Pembangunan bersama kerajaan negeri.

    KPKM berkata ia melibatkan program, usaha pembaikan dan naik taraf serta pelaksanaan aktiviti pertanian di atas tanah yang melibatkan bidang kuasa bersama antara kerajaan negeri dan KPKM. – Bernama

    Langkah mentransformasikan sistem ladang ayam tertutup kepada kaedah terbuka dipersetujui KPKM.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda