BRUSSELS, 28 JULAI – Kesatuan Eropah (EU) hari ini mengancam untuk menghentikan bantuan kepada Niger selepas kudeta tentera yang menggulingkan Presiden negara Afrika barat itu, Mohamed Bazoum.
“EU mengutuk sekeras-kerasnya kudeta di Niger. Kejadian-kejadian kebelakangan ini merupakan serangan serius terhadap kestabilan dan demokrasi di Niger,” kata satu kenyataan.
“Sebarang kegagalan dalam mematuhi perlembagaan akan membawa akibat kepada kerjasama antara EU dan Niger, termasuk penggantungan serta-merta semua sokongan belanjawan.”
Pemberontak di Niger menamakan seorang jeneral tentera sebagai pemimpin baharu negara yang dilanda pemberontak jihad hari ini, beberapa hari selepas presiden yang dipilih itu ditahan.
Negara anggota EU menegaskan keselamatan dan kebebasan pergerakan Bazoum mesti ‘dijamin tanpa syarat’.
Mereka berkata mereka sedang menyelaras rapat dengan pemimpin dari blok serantau Afrika, ECOWAS berhubung krisis itu.
Rampasan kuasa di Niger menjejaskan usaha EU untuk mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai di rantau Sahel yang tidak stabil berikutan kudeta di negara jiran, Mali dan Burkina Faso. – AFP
