Thursday, December 12, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan Adani tarik balik pinjaman bina pelabuhan di Colombo

    NEW DELHI, 11 DIS – Kumpulan Adani India telah menarik balik permintaannya untuk mendapatkan pinjaman yang disokong kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk membina sebuah pelabuhan di Sri Lanka yang dilihat sebagai kontra kepada projek saingan China, menurut pemfailan syarikat.

    Tindakan itu diambil beberapa minggu selepas pendakwaan di New York menuduh pengasas jutawan konglomerat itu, Gautam Adani sengaja mengelirukan pelabur antarabangsa sebagai sebahagian daripada skim rasuah.

    Anak syarikat Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd itu berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa ia menarik permintaannya untuk pinjaman berjumlah AS$553 juta daripada Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (DFC) untuk membina Terminal Antarabangsa Colombo Barat. Ia berkata projek itu ‘berjalan lancar dan berada di landasan untuk pentauliahan pada awal tahun depan’.

    “Projek itu akan dibiayai melalui akruan dalaman dan pelan pengurusan modal syarikat,” tambah syarikat itu.

    Pelabuhan itu mempunyai anggaran kos AS$700 juta dan terletak bersebelahan kemudahan yang dikendalikan oleh China.

    Orang ramai berjalan di depan bangunan korporat ‘Rumah Adani’ di Gurgaon pada 27 November 2024. – AFP

    Perjanjian pinjaman dengan DFC telah dimuktamadkan tahun lepas, dengan projek itu dilihat pada masa itu sebagai cara untuk mengatasi pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Lautan Hindi.

    Sri Lanka terletak di hadapan laluan perkapalan paling sibuk di dunia, yang menghubungkan Timur Tengah dan Asia Timur, justeru memberikan kepentingan strategik kepada aset maritimnya.

    India dan AS sebelum ini turut menyatakan kebimbangan bahawa Beijing boleh mendapat kelebihan ketenteraan dengan bertapak di pelabuhan Hambantota di Sri Lanka.

    Selepas dakwaan terhadap Adani pada November, Sri Lanka membuka penyiasatan dalam projek tempatan konglomerat itu, termasuk pelabuhan dan perjanjian kuasa angin bernilai AS$442 juta.

    Kumpulan Adani berkata ia telah kehilangan hampir AS$55 bilion dalam pasaran saham sejak dakwaan, di mana pendakwa raya AS menuduh pengasasnya dan pegawai kanan lain merasuah pegawai kerajaan India.

    Dengan empayar perniagaan merangkumi arang batu, lapangan terbang, simen dan media, Kumpulan Adani telah mengharungi dakwaan penipuan korporat sebelum ini dan mengalami kerugian saham yang sama tahun lepas.

    Konglomerat itu menyaksikan AS$150 bilion dihapuskan daripada nilai pasarannya pada 2023 selepas laporan oleh penjual Hindenburg Research menuduhnya sebagai penipuan korporat ‘terang-terangan’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda