SYDNEY, 17 DIS – Nick Kyrgios berkata dia akan bermain bergandingan dengan musuh yang kini menjadi rakan, Novak Djokovic, di Brisbane International yang bermula hujung bulan ini sebagai persediaan untuk Terbuka Australia.
Kyrgios pernah menggelar pemain legenda Serbia itu sebagai ‘seorang yang mengambil kesempatan’ pada 2021, tetapi hubungan mereka telah bertambah baik sejak itu. Pemain Australia itu memuat naik gambar mereka berjalan bersama di Wimbledon dengan kapsyen, “Bergandingan di Brisbane. Jumpa kamu di sana.” Kedua-dua pemain itu bertemu di final Wimbledon 2022, di mana Djokovic menang dalam empat set.
Brisbane International bermula pada 29 Disember, dengan Grand Slam pertama tahun ini, di Melbourne, bermula pada 12 Januari.
Kyrgios, 29, terkenal dengan perangai baran, kini sedang membuat kemunculan semula setelah hampir tidak bermain dalam dua tahun kebelakangan ini akibat kecederaan.
Dia akan bertanding dalam undian utama di Melbourne, di mana dia menjadi pemain kegemaran penonton, dengan menggunakan kedudukan dilindungi.
Kyrgios sebelum ini memberi kredit kepada bekas pemain nombor satu dunia, Djokovic, yang merupakan juara 24 kali Grand Slam, kerana memberi motivasi kepadanya untuk kembali ke tenis walaupun dengan kecederaannya. – AFP