Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Labuan IBFC, FSA jalin kerjasama dengan Abu Dhabi Global Market

    KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan Abu Dhabi Global Market (ADGM) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) berasingan membabitkan kerjasama dalam aktiviti kewangan dan amalan kawal selia.

    Pakatan itu bertujuan menggalakkan kerjasama lebih kukuh dalam aktiviti kewangan dan kawal selia bersama yang menyokong pertumbuhan kedua-dua ekosistem kewangan di Labuan dan Abu Dhabi, kata Labuan FSA dan Labuan IBFC dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

    Labuan IBFC Inc Sdn Bhd memeterai satu perjanjian dengan ADGM manakala Labuan FSA dan Pihak Berkuasa Kawal Selia Perkhidmatan Kewangan (FSRA) bagi ADGM, menandatangani satu perjanjian berasingan.

    ADGM, pusat kewangan antarabangsa yang terletak Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) berteraskan kepada tiga kekuatan strategik – perbankan persendirian, pengurusan kekayaan dan pengurusan aset.

    Di bawah perjanjian itu, ADGM dan Labuan IBFC akan meninjau projek yang memberi faedah bersama bagi jangka panjang dalam pembiayaan infrastruktur, inovasi baharu dalam bidang teknologi kewangan (fintech) serta kewangan hijau atau mapan.

    FSRA dan Labuan FSA pula akan menumpukan aspek kerjasama kawal selia bagi penyeliaan institusi kewangan, kerjasama dan pertukaran maklumat serta aktiviti rentas sempadan dalam sektor kewangan Malaysia dan Abu Dhabi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda